• Penghidap Dimensia Diramal Meningkat Tiga Kali Ganda Menjelang 2050

    Published: Friday, 8 December 2017
    A- A+


    GENEVA - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, bilangan penduduk yang menghidapi demensia diramal meningkat tiga kali ganda menjelang 2050, sekali gus akan menjejaskan pembangunan sosial dan ekonomi, lapor agensi berita Xinhua.

    Demensia, sejenis penyakit disebabkan gangguan keupayaan kognitif yang mengakibatkan kemerosotan daya ingatan, daya berfikir, daya merancang dan penjagaan kendiri.

    Menurut WHO, penyakit Alzheimer juga dikaitkan dengan demensia serta paling biasa dihidapi manusia dan menyumbang 60 hingga 70 peratus daripada keseluruhan kes. Jenis umum yang lain adalah demensia vaskular dan campuran.

    Kos tahunan untuk merawat demensia dianggarkan berjumlah US$818 bilion, iaitu lebih satu peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia dan jumlah itu dijangka meningkat lebih dua kali ganda kepada dua trilion dolar menjelang 2030.

    Lebih membimbangkan, keadaan itu akan menjejaskan pembangunan sosial dan ekonomi serta perkhidmatan kesihatan serta sosial, termasuk sistem penjagaan kesihatan jangka panjang.

    "Hampir 10 juta orang mengalami demensia setiap tahun, enam juta daripadanya di negara berpendapatan rendah dan sederhana.

    "Ia memberikan gambaran penderitaan sangat besar dan merupakan satu peringatan: kita perlu memberi perhatian lebih serius terhadap cabaran yang semakin meningkat itu dan memastikan semua penghidap demensia walau di mana berada, mendapatkan penjagaan diperlukan," kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus.

    Dalam menghadapi cabaran itu, WHO pada Khamis melancarkan ''Global Observatory Dementia", sebuah platform berasaskan web untuk mengesan kemajuan mengenai penyediaan perkhidmatan kepada pesakit demensia dan penjaga mereka.

    Selain mengandungi maklumat mengenai sistem pengawasan dan data penyakit, platform berkenaan turut memantau mengenai dasar negara dan perancangan sedia, langkah-langkah pengurangan risiko serta infrastruktur untuk menyediakan penjagaan dan rawatan.

    "Ia adalah sistem pengawasan global pertama untuk demensia yang merangkumi rangkaian data komprehensif," kata Tarun Dua, dari Jabatan Kesihatan Mental dan Penyalahgunaan Bahan WHO.

    Beliau berkata, sistem itu bukan sahaja membolehkan mengesan kemajuan, tetapi mengenal pasti bidang yang diperlukan pada masa depan.

    WHO juga menggesa penyelidikan pesat mengenai demensia dilaksanakan, bukan sahaja untuk mencari penawar, tetapi pencegahan, pengurangan risiko, diagnosis, rawatan dan penjagaan.- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Penghidap Dimensia Diramal Meningkat Tiga Kali Ganda Menjelang 2050 "