• Pengguguran Sepak Takraw Satu Pengajaran, Beri Impak Besar

    Published: Wednesday, 13 December 2017
    A- A+

    KAJANG: Tindakan Majlis Sukan Negara (MSN) menggugurkan sepak takraw daripada senarai sukan teras perlu dilihat sebagai satu pengajaran berguna, kata Presiden Persatuan Sepaktakraw Selangor (PSS), Datuk Markiman Kobiran.

    Sambil mengakui terkejut dengan keputusan itu, katanya, semua pihak juga perlu sedar tindakan berkenaan bakal memberi impak besar kepada pembangunan sukan sepak takraw negara pada masa depan.

    "Saya amat terkejut kerana pertama kali dalam sejarah kita, sepak takraw yang selama ini menjadi sukan tradisi masyarakat Melayu dikeluarkan dari senarai sukan teras MSN seperti diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar siang tadi.

    "Tindakan itu memberi impak besar kerana acara sepak takraw pertama kali tidak akan dipertandingkan di Sukan Malaysia 2018 (SUKMA) yang selama ini menjadi medan kita mencungkil dan mengenal pasti pemain berpotensi untuk diangkat ke pasukan kebangsaan," katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

    Hari ini media melaporkan tiga jenis sukan iaitu angkat berat, sepak takraw dan taekwondo digugurkan daripada 19 jenis sukan teras di bawah program MSN bermula SUKMA Perak pada September tahun depan.

    Berikutan itu, mulai tahun depan PSM dan ahli gabungannya termasuk PSS perlu berdikari mencari dana sendiri untuk menganjurkan sebarang program pembangunan atau menyertai kejohanan di luar negara kerana tiada lagi peruntukan tahunan disalurkan kerajaan.

    Mengulas lanjut, Markiman menyifatkan antara punca utama MSN berbuat demikian adalah kerana kemerosotan prestasi skuad sepak takraw Malaysia di peringkat antarabangsa.

    Katanya, keadaan itu diburukkan lagi dengan kegagalan PSM dan ahli gabungannya mewujudkan program pembangunan dan pertandingan yang menyeluruh dari peringkat akar umbi, antara daerah dan negeri bagi tujuan pembangunan bakat-bakat pelapis yang berterusan .

    "Misalnya, sesetengah ahli gabungan termasuk PSS yang tidak pernah menerima sesen pun peruntukan dari PSM untuk membantu dan melaksanakan program masing-masing," katanya. - BHOnline

     Foto Osman Adnan

    Subjects:

  • No Comment to " Pengguguran Sepak Takraw Satu Pengajaran, Beri Impak Besar "