• Pengantin Dicekup, Bantu Penjenayah Lolos

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Monday, 11 December 2017
    A- A+

    Polis menahan seorang pengantin lelaki selepas dia menghalang pihak berkuasa daripada menahan rakannya yang tersenarai sebagai individu dikehendaki dalam sebuah majlis perkahwinan di hotel di Alor Setar, malam tadi.

    Dalam kejadian 10 malam itu, polis menjalankan operasi bagi menahan lelaki berusia 38 tahun yang mempunyai lapan rekod jenayah lampau termasuk kesalahan mendatangkan kecederaan menggunakan senjata, Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, merusuh, curi serta dua kali ditahan di Pusat Pemulihan Akhlak Simpang Renggam, Johor.

    Dia bagaimanapun dapat melarikan diri selepas pengantin lelaki bersama antara 30 hingga 40 rakan mereka menimbulkan kekecohan dan menghalang anggota polis daripada menahannya.

    Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, pengantin berusia 35 tahun itu bertindak membaling gelas minuman keras ke arah seorang pegawai polis yang mengetuai operasi itu hingga cedera di tangan kiri, manakala suspek melarikan diri melalui pintu belakang hotel.

    Katanya, berdasarkan maklumat, pengadu (pegawai kanan polis) mengetuai sepasukan anggota Cawangan Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar melakukan tugas Op Cantas ke majlis perkahwinan di hotel di Jalan Putra, Alor Setar bagi menahan suspek bersabit Seksyen 506/427 Kanun Keseksaan iaitu ugutan bunuh/ khianat.

    "Ketika hendak melakukan tangkapan ke atas suspek, pegawai dan anggota dihalang sekumpulan lelaki yang menolak mereka berkali-kali.

    "Seorang daripada mereka mengaku sebagai pengantin lelaki pula terus membaling gelas minuman keras ke arah pengadu hingga cedera di tangan kiri manakala suspek melarikan diri," katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd Rozi berkata, berikutan itu pengantin terbabit ditahan di rumahnya di Taman Sri Ampang, Jalan Kenanga 6, Alor Setar, pagi tadi.

    Katanya, tangkapan tidak dilakukan semasa majlis bagi mengelakkan kekecohan yang lebih besar.

    "Semasa tangkapan hendak dibuat berlaku sedikit kekecohan di rumah suspek. Pasukan tangkapan terpaksa meminta bantuan polis peronda," katanya.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas yang boleh hukuman penjara maksimum tiga bulan atau dengan denda yang boleh sampai RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Pengantin Dicekup, Bantu Penjenayah Lolos "