• Pengangkutan Awam Agenda Utama 2017

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Friday, 29 December 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Tahun 2017 menyaksikan Malaysia dari semasa ke semasa melaksanakan program transformasi dan satu daripadanya ialah dalam sektor pengangkutan yang merupakan agenda utama di bawah Program Transformasi Negara (NTP).

    Dalam memenuhi permintaan rakyat bagi pengangkutan awam yang berwibawa, mesra alam dan moden, kerajaan telah memperkenalkan dan melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk beberapa perkhidmatan rel baharu serta memperluas dan menaik taraf pengangkutan awam sedia ada.

    Pelancaran Transit Aliran Massa (MRT) fasa kedua laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) pada 17 Julai menjadi pencetus perubahan dalam perkhidmatan rel landskap pengangkutan negara.

    Laluan SBK yang menyediakan pengangkutan awam yang murah lagi efisien, telah memenuhi peranannya terutama dalam memudahkan akses ke kawasan-kawasan yang sebelumnya tidak dihubungkan sepanjang laluan 51 kilometer merangkumi 31 stesen antara Sungai Buloh dan Kajang.

    Ini kerana kawasan-kawasan di barat laut dan tenggara Lembah Klang tidak dihubungkan melalui perkhidmatan rel bandar sejak laluan Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya, Sri Petaling dan Ampang sementara laluan sambungannya hanya menghubungkan kawasan lingkungan timur laut dan barat daya Lembah Klang.

    Bagi laluan kedua, jajaran Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP), MRT Corporation (MRT Corp) memaklumkan bahawa kemajuan jajaran semasa akan mencapai 19 peratus menjelang akhir tahun ini dan dijangka memulakan kerja-kerja pembinaan terowong pada suku pertama tahun depan.

    Fasa 1 Laluan SSP dijadual siap menjelang Julai 2021 dan kerja-kerja membina penjajaran sepanjang 52.2 kilometer meliputi 37 stesen (11 stesen bawah tanah) dijadual siap sepenuhnya pada tahun berijutnya.

    Selain itu, MRT Corp telah mengumumkan keputusan tahun ini untuk menukarkan struktur pelaksanaan projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) daripada model rakan pelaksana Projek kepada Model siap guna bagi mempercepatkan projek itu siap.

    Ini kerana dalam Bajet 2018 yang dibentangkan pada 27 Oktober, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa MRT3 atau "Circle Line" akan disiapkan menjelang 2025 -- lebih awal daripada sasaran awal pada 2027.

    Model siap guna dijangka boleh menjimatkan perbelanjaan berbilion-bilion ringgit memandangkan 80 peratus daripada kerja membabitkan kerja-kerja pengorekan dan pembinaan terowong yang menelan belanja yang besar.

    MRT Corp juga telah mengeluarkan notis tender pada November dengan menyatakan Laluan 3 dijangka mencapai jarak sejauh 40 km, dengan laluan bawah tanah sepanjang 30 km merangkumi 26 stesen.

    Sementara itu, bagi perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT), kerajaan tidak menghentikan kerja-kerja penaiktarafan selepas menyiapkan projek sambungan laluan LRT tahun lepas.

    Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) telah mengumumkan bahawa penjajaran ketiga (LRT3) sedang berjalan yang memanfaatkan dua juta penumpang antara Bandar Utama di Damansara dan Johan Setia di Klang sepanjang 37 km merangkumi 26 stesen menjelang 2020.

    Bagaimanapun, kerajaan telah membuat keputusan untuk membatalkan projek Bas Rapid Transit (BRT) Kuala Lumpur-Klang kerana ia bertindih dengan cadangan projek LRT 3.

    Sementara itu, bagi pembangunan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR), MyHSR Corp Sdn Bhd telah mengumumkan reka bentuk tujuh stesennya bagi jajaran HSR KL-Singapura dan proses Pemeriksaan Awam akan dibuka kepada orang ramai selama tiga bulan bermula 1 November tahun ini dan berakhir pada 31 Januari, 2018.

    Cadangan muktamad laluan itu dijadual dikemukakan kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menjelang suku pertama tahun depan.

    Jajaran HSR Kuala Lumpur-Singapura dijangka meliputi 328 km dan akan mempunyai tujuh stesen di Malaysia, iaitu di Bandar Malaysia, Bangi-Putrajaya, Seremban, Melaka, Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri. Di Singapura, stesen HSR terletak di Jurong East.

    Tahun ini juga menyaksikan Malaysia melakar sejarah sebagai negara pertama yang mengawal selia perkhidmatan e-hailing seperti Uber dan Grabcar secara sah sebagai perkhidmatan pengangkutan awam apabila rang undang-undang mengenai perkara itu diluluskan di Dewan Rakyat pada 27 Julai.

    Projek infrastruktur lain yang dalam perancangan dan sedang dilaksanakan ialah Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), Lebuhraya Pantai Barat (WCE), Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT) dan Lebuhraya Pan Borneo. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Pengangkutan Awam Agenda Utama 2017 "