• Penerbangan Sulung Pontianak - Miri Diwujudkan

    Published: Wednesday, 6 December 2017
    A- A+


    KUCHING: Penerbangan sulung antara Pontianak (Kalimantan Barat) dan Miri (Sarawak) akan diwujudkan menerusi perkhidmatan penerbangan yang ditawarkan Xpressair, sebuah syarikat penerbangan Indonesia.

    Difahamkan, penerbangan antara kedua-dua wilayah tersebut akan dilakukan pada 12 Disember ini.

    Memetik laporan Utusan Borneo, Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Lee Kim Shin memberitahu, untuk permulaan Xpressair hanya menyediakan penerbangan dua kali seminggu.

    “Penerbangan ini bukan hanya akan memudahkan perjalanan masyarakat kita dengan Indonesia antara Miri dan Pontianak, tetapi juga rakyat Brunei di mana mereka juga akan datang ke Miri untuk menaiki penerbangan ke Pontianak.

    “Malah, ia juga bukan hanya dari segi pelancongan tetapi juga untuk urusan perniagaan dan sebagainya, sekali gus mengeratkan lagi hubungan antara Kalimantan dan Sarawak,” katanya.

    Menurut Lee lagi, sambutan akan diadakan untuk penerbangan sulung Xpressair dari Pontianak yang dijangka tiba di Miri pada jam 4 petang, 12 Disember ini dengan disempurnakan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

    Tambahnya, penerbangan tersebut juga bukan hanya menghubungkan Pontianak dan Miri sahaja, tetapi juga sehingga ke Jogjakarta dan Bandung di mana Xpressair turut mempunyai penerbangan terus dari Pontianak ke Jogjakarta, namun dari Pontianak ke Bandung perlu menaiki penerbangan lain.

    “Kami berharap penerbangan ini akan terus mampan sekali gus dapat meningkatkan bilangan penerbangan pada masa akan datang,” ujarnya. – Sarawakiana

  • No Comment to " Penerbangan Sulung Pontianak - Miri Diwujudkan "