• Pencuri Maut, Peniaga Ditahan

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Monday, 11 December 2017
    A- A+

    Nasib tidak menyebelahi seorang peniaga lelaki, 33, selepas hasratnya mempertahankan warungnya yang dipecah masuk dua lelaki berakhir dengan salah seorang daripada pencuri maut dibunuhnya.

    Dalam kejadian jam 6.35 petang itu, peniaga berkenaan ditahan sejurus membuat laporan polis mengenai kejadian.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, berdasarkan keterangan suspek, sebelum kejadian dia berada di rumahnya di Seberang Jaya sebelum menerima panggilan daripada kakaknya.

    Katanya, pada jam 6.12 petang kakaknya memaklumkan ada seorang lelaki sedang memanjat pagar warungnya di Jelawat 4 manakala seorang lagi lelaki berada di dalam kereta.

    “Pada jam 6.15 petang tadi suspek sampai di lokasi kejadian dan ternampak seorang lelaki berkenaan sedang memasukkan perkakas dapur warung ke dalam kereta.

    “Menyedari perkara itu suspek terus pergi menghalang di kereta itu dan bertindak mengambil kunci kereta,” katanya.

    “Lelaki yang berada di dalam kereta itu memegang baju suspek dan manakala seorang lagi lelaki menerpa ke arahnya sehingga berlaku pergelutan antaranya dengan dua lelaki berkenaan,” katanya.

    Menurut Nik Ros Azhan, suspek mendakwa tidak lama selepas itu dua lelaki berkenaan melarikan diri dengan salah seorang daripada mereka dalam keadaan berdarah dan memegang pemotong besi berlari ke arah stesen minyak berdekatan.

    Nik Ros Azhan berkata, hasil siasatan di tempat kejadian, polis menemui mayat mangsa terbaring di dalam longkang di hadapan stesen minyak bersebelahan Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE) menghala ke Kulim.

    “Terdapat satu kesan luka di bawah dada sebelah kiri mangsa, satu luka di bahagian atas kepala dan satu lagi di pergelangan tangan sebelah kanannya.

    “Mangsa dikenali sebagai S Prince Jevadurai, 30, dan beralamat di Bertam,” katanya.

    Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Pencuri Maut, Peniaga Ditahan "