• Penalti kewangan MyEG RM6.41 juta kekal

    Published: Friday, 29 December 2017
    A- A+
    TRIBUNAL Rayuan Persaingan (TRP) semalam menolak rayuan MyEG Services Berhad (MyEG) dan MyEG Commerce Sdn Bhd (MyEG Commerce) terhadap keputusan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) 24 Jun 2016, dan perlu membayar penalti kewangan sebanyak RM6.41 juta.

    Keputusan MyCC pada tarikh berkenaan mendapati kedua-duanya melanggar Seksyen 10(2)(d)(iii) Akta Persaingan 2010 (AP 2010).

    TRP yang dipengerusikan Tan Sri Haidar Mohd Nor berpendapat, keputusan MyCC adalah tepat apabila perayu (MyEG dan MyEG Commerce) didapati menyalahgunakan kedudukan dominannya, suatu pelanggaran mengikut Seksyen 10(2)(d)(iii) AP 2010.

    TRP seterusnya berkata, selepas mengambil kira keseluruhan bukti, TRP tiada alasan untuk mengganggu keputusan suruhanjaya.

    MYCC dalam kenyataan berkata, berikutan itu, TRP mengesahkan keputusan suruhanjaya dan mengarahkan perayu dan MyEG Commerce untuk mematuhi arahan iaitu, jumlah penalti kewangan sebanyak RM2,272,200 sehingga 24 Jun 2016.

    "Selain itu, penalti harian sebanyak RM7,500 bermula dari 25 Jun 2016 sehingga tarikh keputusan TRP iaitu 28 Disember (Khamis).

    "Malah, berhenti dan menghentikan serta merta dari mengenakan syarat berlainan untuk transaksi yang setara berkaitan pembelian insurans mandatori untuk permohonan pembaharuan Pas Lawatan (Kerja Sementara) (PLKS) pekerja asing,"katanya.

    Menurut kenyataan itu, perayu juga perlu menyediakan 'gateway' yang cekap kepada semua pesaing dan pesaing baru atau berpotensi dalam pasaran penjualan insurans mandatori dalam tempoh 60 hari selepas keputusan TRP dikeluarkan.

    Katanya, sekiranya pihak MyEG tidak mematuhi arahan yang dinyatakan, pihak MyCC mempunyai kuasa untuk mengenakan penalti harian sebanyak RM7,500 bagi tempoh berikutnya.

    Oleh itu, katanya, sehingga Khamis lalu, jumlah penalti kewangan yang perlu dibayar oleh perayu adalah RM6,412,200, termasuk denda harian berjumlah RM4,140,000.

    Bagaimanapun, menurutnya, jumlah berkenaan akan meningkat sekiranya MyEG gagal untuk mematuhi arahan TRP.

    "Perlu ditekankan TRP tidak mengesahkan arahan MyCC perayu perlu mematuhi peraturan dan undang-undangPersatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) kerana perayu bukan berada di bawah bidang kuasa PIAM.

    "Keputusan MyCC mendapati perayu menyalahgunakan kedudukan dominannya dengan mengenakan syarat berbeza kepada transaksi setara dalam pembelian insurans mandatori untuk pembaharuan PLKS untuk pekerja asing," katanya.

    MyEG Commerce adalah anak syarikat MyEG memeterai perjanjian agensi dengan RHB Insurance Berhad (RHB) untuk bertindak sebagai ejen kepada RHB bagi menjual, antara lain, insurans mandatori untuk pembaharuan PLKS.

    Katanya, keputusan yang dibuat oleh MyCC adalah hasil penyiasatannya yang mendapati perayu menyebabkan jangka masa proses yang lebih cepat untuk pembaharuan PLKS kepada pelanggan yang memilih untuk membeli insurans mandatori dari RHB melalui perayu.

    "Bukti juga menunjukkan terdapat pengesahan automatik untuk insurans yang dibeli daripada RHB melalui perayu.

    "Bagaimanapun, jika pelanggan memilih untuk membeli insurans mandatori daripada syarikat insurans lain, dengan perayu bukan ejen bagi syarikat insurans itu langkah tambahan untuk pengesahan dikenakan oleh perayu terhadap insurans berkenaan,"katanya.

    Katanya, langkah itu menyebabkan masa pembaharuan lebih lama, sekali gus memberi tekanan kepada pelanggan untuk membeli insurans mandatori dari RHB melalui perayu.

    Ketua Pegawai Eksekutif MyCC Datuk Abu Samah Shabudin berkata, adalah menjadi objektif MyCC untuk memastikan syarikat yang mempunyai kedudukan dominan dalam apa-apa pasaran tidak menyalahgunakan kedudukan mereka kerana ia akan menyebabkan kesan negatif terhadap pengguna dan ekonomi negara secara keseluruhan.

    "MyCC sebelum ini sudah menyiasat beberapa syarikat yang mempunyai kedudukan dominan seperti Megasteel Sdn Bhd (industri besi) dan Giga Shipping Sdn Bhd dan Nexus Mega Carriers Sdn Bhd (industri logistik). - HMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Penalti kewangan MyEG RM6.41 juta kekal "