• 'Penahanan dibuat tanpa motif politik'

    Published: Saturday, 2 December 2017
    A- A+


    PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menolak dakwaan penahanan anak saudara Menteri Besar Selangor berhubung perlombongan pasir dan batu haram di negeri itu, adalah bermotifkan politik.

    Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, berkata penahanan dilakukan SPRM secara profesional bagi menjalankan siasatan berdasarkan asas kukuh tanpa percaturan politik.

    "Penahanan yang dilakukan bersifat profesional dan tidak sama sekali ada kaitan dengan perkiraan politik.

    "Apa-apa tindakan yang kita ambil adalah berdasarkan maklumat diterima dan apabila mempunyai asas (yang kukuh) maka kita menjalankan siasatan.

    "Jadi segala tindakan (dan penahanan) bebas daripada pengaruh atau sebarang sabotaj (politik) seperti yang dinyatakan pihak tertentu.

    "Kita harus profesional. Biar SPRM jalankan tugas dan tanggungjawab kerana siasatan sedang berjalan dan biar kami selesai siasat.

    "Mereka kini ditahan reman, jadi kita tunggu minggu depan dan lihat apa akan berlaku," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

    Beliau mengulas kenyataan Pejabat Menteri Besar Selangor yang mendakwa penyebaran maklumat kononnya penahanan anak saudara Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan lombong pasir haram sebagai berniat jahat.

    Kenyataan itu turut menyebut ia tidak mempersoalkan tanggungjawab SPRM untuk menjalankan siasatan, namun kesal kerana pembocoran maklumat secara meluas di media sosial dan dalam kalangan blogger UMNO sebelum penahanan dilakukan.

    Khamis lalu, empat individu termasuk anak saudara kepada Menteri Besar Selangor direman tujuh hari sehingga 6 Disember ini bagi membantu siasatan berhubung kegiatan perlombongan pasir dan batu haram di Selangor pada 2014.

    Terdahulu, ketika berucap pada Forum Antirasuah dan Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) oleh pemimpin Persatuan Graduan Muda Malaysia (GRADUAN), Dzulkifli berkata, SPRM menjadikan golongan muda sebagai antara sasaran utama menyebarkan gelombang antirasuah dan salah guna kuasa.

    "Anak muda ini yang bakal menerajui tampuk pemerintahan dan kepemimpinan negara pada masa akan datang, justeru adalah amat penting mereka ini disemai dan ditanam sifat jijik akan rasuah.

    "Ia bagi memastikan hasrat membina negara yang bebas rasuah dan salah guna kuasa dapat direalisasikan," katanya.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " 'Penahanan dibuat tanpa motif politik' "