• Peminjam PTPTN Dinasihat Membuat Rundingan Tujuh Hari Sebelum Ke Luar Negara

    Published: Monday, 4 December 2017
    A- A+

    LENGGONG: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyarankan agar peminjam pinjaman yang disenarai hitam menyelesaikan rundingan selewat-lewatnya tujuh hari sebelum berlepas ke luar negara.

    Pengerusinya, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, peminjam boleh keluar negara selepas selesai rundingan dengan bayaran yang dipersetujui.

    Jelasnya, melalui kaedah itu, nama peminjam juga akan disenarai putih dan boleh ke luar negara.

    "Peminjam PTPTN yang mempunyai tunggakan bayaran balik atau mempunyai masalah untuk membuat bayaran balik dinasihatkan untuk segera berbincang dengan kami.

    "Sekiranya tidak mampu membayar keseluruhan tunggakan, PTPTN menyediakan kaedah penstrukturan semula pinjaman bagi meringankan beban kewangan peminjam yang membolehkan ansuran bulanan dikurangkan melalui pemanjangan tempoh bayaran balik," katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Kepenggunaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perak di Dewan Merdeka sini hari ini.

    Akhbar Kosmo! pada 28 November lalu melaporkan, Jabatan Imigresen Malaysia menyenaraikan seramai 790,186 rakyat Malaysia yang disekat daripada meninggalkan negara ini dengan lebih separuh daripada mereka melibatkan peminjam PTPTN. - K! ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Peminjam PTPTN Dinasihat Membuat Rundingan Tujuh Hari Sebelum Ke Luar Negara "