• Pemindahan Organ Ddi Luar Negara Berbahaya - Subramaniam

    Published: Thursday, 7 December 2017
    A- A+

    PUTRAJAYA: Tindakan pengamal perubatan mengesyorkan pesakit mendapatkan penderma atau melakukan pemindahan organ di luar negara adalah bercanggah dengan undang-undang dan tidak disokong Kementerian Kesihatan.

    Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata pemindahan organ yang dibuat di negara lain turut dikhuatiri akan mengundang risiko kesan sampingan selain komplikasi kesihatan.

    "Apa yang mereka (pengamal perubatan) buat ini sesuatu yang tidak sah dan kita nasihatkan mereka jangan melakukannya kerana setiap negara mempunyai syarat serta peraturan tertentu berhubung pendermaan organ.

    "Ini bertujuan melindungi rakyat mereka khususnya masyarakat miskin, dieksploitasi atau menjadi mangsa pemerdagangan organ," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Cek Bagi Projek Pembinaan Prasekolah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) 2017 di sini, hari ini.

    Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan. Dr Subramaniam berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai perbuatan pengamal perubatan yang mencadangkan pesakit melakukan pemindahan organ di luar negara berikutan kesukaran mendapatkan penderma dalam negara.

    Beliau tidak menafikan ada doktor tempatan yang bertindak sebagai orang tengah untuk melakukan perkara itu dan menegaskan ia adalah satu kesalahan di bawah Akta Tisu Manusia 1974.

    Sebelum ini, akhbar melaporkan kekurangan penderma organ mendorong pesakit tempatan mencari sumber dan melakukan pembedahan di luar negara seperti China dan India, yang bukan sahaja membahayakan pesakit tetapi turut berisiko dijangkiti pelbagai penyakit berbahaya.

    Justeru, tegas beliau, Kementerian Kesihatan meminta pengamal perubatan di negara ini tidak mencadangkan perkara sedemikian kepada pesakit kerana disifatkan berbahaya dan tiada jaminan bagi pembedahan yang dilakukan.

    Dalam pada itu, Dr Subramaniam berharap jumlah penderma organ di negara ini dapat ditingkatkan kerana ia belum mencukupi untuk memenuhi keperluan semasa pesakit yang memerlukan organ.

    Katanya, di Malaysia kebanyakan pemindahan organ adalah di kalangan anggota keluarga selain organ penderma yang sudah meninggal dunia, namun ada keluarga simati yang enggan membenarkan pengambilan organ dan pihak kementerian menghormatinya tetapi terus berusaha mengubah persepsi mereka.

    Mengulas lanjut, beliau berkata Kementerian Kesihatan akan menguatkan pelaksanaan Akta Tisu Manusia 1974 bagi mengatasi isu berkenaan.

    Berhubung majlis penyerahan cek bagi projek pembinaan prasekolah SJKT pula, Dr Subramaniam, yang juga Presiden MIC, berkata dana RM10 juta diperuntukkan oleh kerajaan melalui Bajet 2017 untuk pembinaan bagi 50 bilik darjah prasekolah di SJKT.

    Katanya, buat permulaan, sebanyak 33 SJKT di seluruh negara terbabit dalam projek itu dengan kos sebanyak RM200,000 bagi membina satu bilik darjah. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Pemindahan Organ Ddi Luar Negara Berbahaya - Subramaniam "