• Pembangkang Cuba Alih Perhatian

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Tuesday, 19 December 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Tindakan pembangkang mempertikaikan langkah persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) didakwa bertujuan mengalih perhatian daripada isu sebenar populariti pembangkang yang semakin merudum.

    Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad, berkata proses persempadanan semula perlu dilakukan bagi menggambarkan pertumbuhan penduduk semasa.

    Beliau berkata, keseluruhan proses itu adalah normal, bebas daripada gangguan politik dan diuruskan SPR yang bebas.

    "Pembangkang mempolitikkan proses itu dan mengeksploitasi sistem undang-undang sebagai satu cubaan untuk mengalihkan perhatian daripada popularitinya yang kian merudum.

    "Realitinya, badan kehakiman Malaysia adalah bebas dan adil. Keputusan selalunya tidak memihak kerajaan kerana ia perkara membabitkan rekod awam.

    "Pembangkang hanya merungut apabila keputusan tidak menyebelahi mereka. Ia memalukan apabila pembangkang memilih untuk memusnahkan negara sendiri di peringkat antarabangsa demi keuntungan politik," katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mahkamah Rayuan semalam membenarkan permohonan SPR mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini membenarkan permohonan kerajaan Selangor menggantung sementara inkuiri tempatan di negeri itu.

    Dengan keputusan itu, SPR boleh mengendalikan inkuiri tempatan bagi cadangan proses persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor.

    Pada 7 Disember lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan kerajaan negeri menggantung sementara proses inkuiri tempatan bagi kawasan Parlimen dan DUN Selangor, sehingga rayuan semakan kehakimannya diputuskan. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Pembangkang Cuba Alih Perhatian "