• Pelepasan Air Loji Hidroelektrik Bakun Patuhi Amalan Standard

    Reporter: Yusz Man
    Published: Wednesday, 13 December 2017
    A- A+

    KUCHING: Sarawak Energy Bhd, syarikat utiliti dan pembangunan tenaga hidro negeri, hari ini memberi jaminan kepada penduduk di kawasan hilir Sungai Rejang bahawa pelepasan air dari kolam takungan Loji Hidroelektrik Bakun (HEP) mulai semalam, dibuat secara terkawal dan mematuhi amalan standard yang dilakukan secara berkala semasa hujan lebat.

    Dalam kenyataan media, Sarawak Energy berkata anak syarikatnya dan pengendali HEP, Sarawak Hidro Sdn Bhd (SHSB), mengawal selia paras air di kawasan hulu dengan menggunakan prosedur itu sejak empangan berkenaan siap dibina tujuh tahun lepas bagi memastikan jumlah air yang dilepaskan hanya memberi kesan minimum terhadap aliran air ke kawasan hilir.

    "Berikutan hujan lebat sejak beberapa hari lepas, SHSB mula melakukan pelepasan secara terkawal pada 12 Dis dan ini dijangka diteruskan selama kira-kira tiga minggu. Air dari Bakun HEP tidak akan lagi melimpah sebaik sahaja paras air di kolam takungan kembali ke paras biasa.

    "Perlu dijelaskan bahawa sejak siapnya Bakun HEP, kejadian banjir di kawasan hilir berjaya dikurangkan dan kesannya dapat dikekang kerana empangan menakung sejumlah besar air hujan sepanjang tahun, walaupun air hujan yang mengalir ke kawasan tadahan dan anak sungai Rejang masih boleh menyebabkan banjir," katanya.

    Semalam, SHSB dalam satu kenyataan berkata pihaknya sudah mula melepaskan air dari Empangan Bakun ke paras lebih rendah pada 9 pagi dan menasihati penduduk di kawasan hilir Sungai Rejang supaya berjaga-jaga dengan peningkatan paras air serta arus deras semasa air dilepaskan.- BERNAMA
  • No Comment to " Pelepasan Air Loji Hidroelektrik Bakun Patuhi Amalan Standard "