• Pelarian Rohingya berdepan musim sejuk

    Reporter: Yusz Man
    Published: Friday, 22 December 2017
    A- A+


    CUACA sejuk dan kekurangan bekalan makanan menjadi cabaran utama lebih 400,000 pelarian di Kem Kutupalong, Bangladesh yang ketika ini berdepan musim sejuk.

    Keadaan yang daif, terutama kanak-kanak yang ke sana ke mari tanpa sebarang punca kerana lapar menarik perhatian sekumpulan aktivis Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) bersama ahli gabungan yang berada di sana sepanjang minggu ini.

    Naib Presiden MAPIM Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, jika sebelum ini, bentuk bantuan lebih terarah kepada penghantaran pek makanan menerusi dana sumbangan masyarakat antarabangsa, kini gerak kerja keperluan mendapatkan selimut serta pakaian tebal untuk kegunaan pelarian di sekitar Cox's Bazar.

    "Di sini, mereka sudah mula berdepan dengan cuaca dingin yang mencecah 12 darjah celcius, cukup sejuk apatah lagi mereka hanya tinggal di dalam khemah yang berdindingkan plastik dan guni.

    "Keadaan agak kritikal di mana kanak-kanak yang kelaparan ada di mana-mana di sekitar kem, manakala pelarian yang sakit juga memerlukan bantuan perubatan kerana tiada kemudahan disediakan," katanya kepada Harian Metro.

    Ahmad Tarmizi berkata, pihaknya menyalurkan sumbangan berjumlah lebih RM32,000 daripada kumpulan Facebook Titian Kasih, Gerakan Belia 4B Padang Rengas, Perak dan Tabung Rohingya MAPIM Kedah.

    Menurutnya, pengagihan sumbangan 300 helai selimut di Kem Gundum 1, Balukhali sejak tiga hari lalu memberi gambaran jelas betapa mereka begitu memerlukan lebih banyak pakaian tebal untuk menghadapi cuaca sejuk.

    "Menerusi perbincangan bersama Kerjasama Untuk Aktiviti Kemanusiaan (CHA), kita juga menumpukan kepada agenda Tiga Tahun Kelangsungan Membangun Rohingya selain ke Hospital Al Haramain dan Pusat Pendidikan Al Alamah Syeid Amin di Kem Gundom 1.

    "Banyak lagi yang perlu dilakukan atas nama ummah untuk membantu saudara Islam kita di sini. Kita akan teruskan beberapa perbincangan ini dan berharap akan ada kata sepakat demi kebaikan bersama.

    "Orang ramai yang ingin meyumbang boleh melayari Facebook MAPIM untuk maklumat lanjut," katanya.-hmetro

    Subjects:

  • No Comment to " Pelarian Rohingya berdepan musim sejuk "