• Pelanggan Rupanya Penyamun

    Published: Tuesday, 26 December 2017
    A- A+

    Peniaga runcit tergamam apabila diacu golok oleh seorang daripada tiga suspek yang menyamar sebagai pelanggan di Kampung Gong Terap, Chalok, Setiu, semalam.

    Dalam kejadian 12.30 tengah hari itu, peniaga berkenaan dikatakan sedang menguruskan kedai runcitnya sebelum didatangi tiga lelaki menaiki kereta Inokom Atos berwarna perak.

    Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris berkata, dua daripada suspek kemudian masuk ke kedai berkenaan untuk membeli air kotak, bagaimanapun ketika ingin membuat pembayaran di kaunter, suspek memberitahu mangsa bahawa wangnya tidak cukup dan perlu mengambilnya di dalam kereta.

    "Suspek meminta mangsa tunggu sebentar kerana kononnya dia ingin mengambil wang di keretanya.

    "Suspek kemudian datang semula ke kaunter dan membuat pembayaran namun selepas itu tiba-tiba mengeluarkan golok dan menyuruh mangsa berdiam diri," katanya hari ini.

    Menurutnya, suspek kemudiannya membuka laci kaunter berisi rokok dan terus masuk ke kereta sebelum beredar dari kedai berkenaan.

    "Anggaran kerugian yang dilaporkan berjumlah kira-kira RM300 dan polis kini melancarkan gerakan memburu ketiga-tiga suspek.

    "Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh tampil memberi keterangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi hari ini.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Pelanggan Rupanya Penyamun "