• Pelajar Malaysia Menang Pertandingan Fotografi

    Published: Tuesday, 19 December 2017
    A- A+



    KUALA LUMPUR: Pelajar Malaysia di Universiti Pengajian Antarabangsa Beijing memenangi tempat ketiga dalam pertandingan fotografi bertajuk 2017 Permulaan Baru Beijing di Mata Rakan Asing.

    Satriah Bahruddin, pelajar tajaan Kementerian Pendidikan membawa pulang sijil penghargaan, plak dan wang tunai kira-kira RM1,800 (RMB3000).

    Karya beliau berdasarkan tema 'Merah dan China', mencuri perhatian juri menerusi gambar berlatarkan kilang terbiar di kawasan 798 Art District, Beijing.

    Dalam kenyataan dikeluarkan Education Malaysia di Beijing hari ini, pencapaian itu menunjukkan hasil kreativiti pelajar Malaysia mampu bersaing dengan pelajar luar negara lain.

    Pertandingan tahunan itu bertujuan untuk memperkenalkan Beijing secara lebih dekat kepada warga asing yang bekerja atau pelajar yang menuntut di negara itu.

    Sebanyak 3,015 gambar dikemukakan oleh 243 peserta dari 62 negara termasuk Amerika Syarikat, Russia dan Jerman.

    Bagi pusingan akhir, kira-kira 300 gambar disenarai pendek dan hanya 50 gambar dipilih untuk menduduki tempat pertama, kedua, ketiga dan sagu hati bagi pertandingan fotografi itu.

    Seorang lagi pelajar Malaysia, Teoh Li Ying dari Universiti Komunikasi Beijing menerima hadiah sagu hati untuk pertandingan sama.

    Li Ying mengetengahkan gambar yang bertajuk 'Momen Masyarakat China' mengisahkan kehidupan seharian masyarakat negara itu dan membolehkannya membawa pulang sijil penyertaan dan wang tunai kira-kira RM307 (RMB500).- Berita Harian

    Subjects:

  • No Comment to " Pelajar Malaysia Menang Pertandingan Fotografi "