• Pekerja restoran didakwa miliki 3 pasport Bangladesh

    Reporter: Yusz Man
    Published: Tuesday, 26 December 2017
    A- A+

    AMPANG: Seorang pekerja restoran yang ditahan ketika tangkapan Ops Pintas KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tiga tuduhan memiliki pasport milik rakyat Bangladesh, awal bulan ini.

    Mohammed Shahin Takulder, 34, warga Bangladesh membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Haslinda A Raof.

    Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 17 Januari ini untuk jatuh hukum.

    Berdasarkan kertas pertuduhan, Shahin didakwa memiliki pasport tiga rakyat Bangladesh yang dikeluarkan bagi penggunaan mereka tanpa kuasa yang sah di nombor 39, Jalan Dagang Permai 4, Taman Dagang Permai, Hulu Langat, di sini, jam 1.30 tengah hari, pada 6 Disember lalu.

    Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966, yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Sementara itu, seorang lagi warga Bangladesh, Abdul Rahim, 40, mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas tuduhan memiliki sembilan pasport warga sama di tempat, masa dan tarikh sama.

    Pada prosiding itu juga, tiga individu termasuk seorang wanita turut didakwa atas tuduhan sama, bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan berikutan ketiadaan jurubahasa warga Bangladesh.

    Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 17 Januari depan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.

    Sebelum ini, media mendedahkan berlaku aktiviti penyeludupan masuk migran Bangladesh di KLIA, Sepang menerusi Op Pintas KLIA yang dilancarkan Bahagian Anti Pemerdagangan dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) D7C Bukit Aman selepas risikan hampir tujuh bulan.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Pekerja restoran didakwa miliki 3 pasport Bangladesh "