• Pejabat Imigresen P.Dickson Kini Keluarkan Pasport

    Published: Wednesday, 13 December 2017
    A- A+


    PORT DICKSON – Orang ramai kini boleh membuat permohonan pasport di Pejabat Imigresen Port Dickson dan pemohon boleh mendapatkan pasport mereka dalam tempoh sejam, selepas membuat bayaran.

    Sebelum ini pejabat itu yang mula dibuka pada Jun 1993 menjalankan urusan penerimaan pasport sahaja yang tempoh serahan pasport kepada pemohon adalah tiga hari bekerja.

    Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Kawalan) Jabatan Imigresen Datuk Shahril Ismail berkata selain penduduk Port Dickson, penduduk di kawasan berdekatan seperti Sepang, Selangor dan Kuala Sungai Baru, Melaka juga boleh menikmati kemudahan ini.

    “Pejabat Imigresen Port Dickson adalah pejabat penerima dan pengeluar pasport yang kedua di negeri ini selepas Pusat Transformasi Bandar (UTC) Ampangan, Seremban yang dibuka pada 25 Nov lepas,” katanya.

    Beliau berkata kepada pemberita selepas majlis penyerahan pasport pertama yang dikeluarkan Pejabat Imigresen Port Dickson di sini, hari ini. Turut hadir Pengarah Imigresen negeri Rahim Hanaffi.

    Pada 30 Nov lalu selepas majlis perasmian UTC Ampangan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali mengumumkan Pejabat Imigresen Port Dickson akan dinaik taraf sebagai pejabat pengeluar pasport.

    Katanya pembukaan urusan penerimaan dan pengeluaran pasport di Pejabat Imigresen Port Dickson adalah bagi memastikan sistem penyampaian khidmat awam itu dapat terus diperluaskan.

    Shahril berkata sebanyak 5,642 pasport dikeluarkan Pejabat Imigresen Port Dickson sehingga November lepas, manakala pada 2016, sebanyak 8,850.

    Sementara itu, S. Victor, 51, dari Seremban 2 berkata beliau mendapati urusan memohon pasport di Pejabat Imigresen Port Dickson adalah selesa dan cekap kerana tidak ramai, malah pasport siap dalam sejam.

    “Saya ke UTC Ampangan semalam untuk urusan membaharui pasport dan mendapati ia sesak dengan orang ramai dan pegawai Imigresen di situ menasihatkan saya supaya ke Pejabat Imigresen Port Dickson untuk urusan tersebut. Memang di sini selesa dan pasport cepat siap,” katanya. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Pejabat Imigresen P.Dickson Kini Keluarkan Pasport "