• PDRM Pertimbang Luaskan Operasi FRU Di Sabah, Sarawak

    Published: Tuesday, 5 December 2017
    A- A+

    Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempertimbang untuk meluaskan operasi Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Sabah dan Sarawak.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, cadangan memperluaskan operasi berkenaan adalah untuk memperkukuhkan lagi kekuatan sedia ada bagi memastikan isu-isu berkaitan ketenteraman awam sentiasa dalam keadaan terkawal.

    Beliau berkata, ketika ini pihaknya mempunyai 2,400 anggota di seluruh negara yang diserapkan di 21 trup di kawasan semenanjung.

    "Di Sabah kami hanya menempatkan sebuah aset FRU iaitu kenderaan ‘Water Cannon’ di markas Pasukan Gerakan Am untuk mengawal ketenteraman awam di sana dan tiada anggota FRU.

    “Jika ada keperluan kami akan memperluaskan pasukan ini di beberapa buah negeri dan akan menghantar kertas cadangan kepada kerajaan untuk kelulusan perkara ini," katanya pada sidang media sempena hari ulangtahun FRU ke-62 di pangkalan FRU Cheras, Kuala Lumpur, hari ini.

    Hadir sama Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan Komander FRU Datuk Wan Abdullah Ishak.

    Mohamad Fuzi berkata, FRU ketika ini dalam proses mengatur strategi dan pelaksanaan gerak kerja yang lebih teliti bagi memastikan setiap tugasan, mengikut piawaian antarabangsa yang telah ditetapkan.

    Katanya, ia dilaksanakan selari dengan arus perubahan semasa dan demi memenuhi aspirasi rakyat Malaysia yang kini cenderung ke arah aspek keselamatan negara dan ketenteraman awam.

    "Seiring dengan kepolisan moden ketika ini FRU akan dibekalkan peralatan logistik termasuklah kenderaan-kenderaan baru yang dilengkapi dengan teknologi terkini.

    “Ini termasuklah dengan mengambil kira persiapan yang dirancang rapi bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 yang boleh diadakan pada bila-bila masa dari sekarang,” katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " PDRM Pertimbang Luaskan Operasi FRU Di Sabah, Sarawak "