• PBS Bukan Parti Orang Tua

    Published: Monday, 11 December 2017
    A- A+


    KOTA KINABALU: Kemasukan ramai ahli baharu terdiri daripada golongan graduan dan profesional muda membuktikan Parti Bersatu Sabah (PBS) terus relevan dan mendapat sokongan generasi baharu.

    Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata perkembangan itu turut menangkis persepsi orang ramai yang sering mengaitkan PBS sebagai parti orang tua.

    Beliau berkata, usaha menambahkan lagi keahlian generasi baharu akan ditingkatkan menerusi promosi berterusan agenda perjuangan PBS termasuk menyebarkan maklumat mengenai parti itu melalui ahli baharu yang terdiri daripada orang muda.

    "Kita mahu mengubah persepsi orang ramai yang menganggap PBS sebuah parti untuk orang tua. Kemasukan orang muda menunjukkan bahawa parti ini masih dapat menarik minat generasi muda untuk menyertai perjuangan kita.

    "Lebih penting lagi penyertaan ahli baharu dalam kalangan generasi muda ini membuktikan bahawa PBS masih relevan, sebab itu mereka (orang muda) tertarik dengan perjuangan kita," katanya menerusi kenyataannya di sini hari ini.

    Mereka terdiri daripada graduan dan profesional muda dengan 34 daripada jumlah itu menyertai kursus singkat anjuran Akademi Kepemimpinan Bersatu.

    Maximus berkata akademi berkenaan bertujuan melatih orang muda, khususnya anak ahli PBS dalam beberapa subjek termasuk kepemimpinan politik, pengurusan, keusahawanan dan hal berkaitan kerajaan.

    Katanya, akademi itu mahu membantu orang muda memperbaiki pengetahuan dan kemahiran mereka yang tidak diperolehi daripada institusi pendidikan awam atau swasta.

    "Ini penting untuk mendedahkan orang muda supaya memahami dengan baik hal berkaitan isu semasa yang memberi kesan terhadap kerajaan," katanya.

    Beliau berkata, satu daripada isu yang ditekankan ialah kelebihan PBS sebagai parti berbilang kaum.

    Sementara itu, Maximus yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, mengingatkan orang muda, khususnya yang masih belajar supaya tidak terlalu membabitkan diri dalam politik.

    "Tidak salah untuk orang muda terbabit dalam politik tetapi tanggungjawab sebagai pelajar lebih penting. Tempat dan masa untuk berpolitik tetap ada," katanya. -BH

    Subjects:

  • No Comment to " PBS Bukan Parti Orang Tua "