• PBB Terima Resolusi Kesederhanaan Malaysia

    Published: Saturday, 9 December 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Malaysia melakar sejarah di pentas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) apabila inisiatif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF) membawa resolusi menangkis penyebaran fahaman ekstremisme dan radikal diterima pada sesi Perhimpunan Agung PBB (UNGA) ke-72 di New York.

    Resolusi berkenaan diterima menerusi undian 135 negara anggota PBB, Amerika Syarikat (AS) dan Israel menentang manakala tiada negara berkecuali.

    Pembentangan resolusi dilakukan Wakil Tetap Malaysia ke PBB, Datuk Seri Mohd Shahrul Ikram Yaakob, pada persidangan September lalu.

    Hadir sama Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif GMMF, Datuk Dr Nasharudin Mat Isa.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak, menggerakkan pendekatan kesederhanaan yang disusuli dengan penubuhan GMMF pada 2012 dan diiktiraf masyarakat antarabangsa.

    Nasharudin berkata, penerimaan resolusi berkenaan adalah pengiktirafan besar terhadap Malaysia dan GMMF.

    "Mesej kesederhanaan yang diperjuangkan Malaysia boleh menjadi jawapan dan naratif balas terhadap perkembangan ekstremisme dan keganasan.

    "Ia juga dapat membantu ke arah mewujudkan kelompok masyarakat dunia yang lebih harmoni dan mengangkat nilai kebersamaan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Beliau mengakui bukan mudah meyakinkan masyarakat antarabangsa mengenai inisiatif terbabit.

    Bagaimanapun, katanya, rekod pencapaian Malaysia sebagai negara dan masyarakat yang mengamalkan kesederhanaan, bertoleransi dan saling menghormati memudahkan perjuangan Malaysia untuk meyakinkan negara anggota PBB.

    Antara kandungan resolusi berkenaan ialah pengumuman 2019 selaku Tahun Kesederhanaan Global dalam usaha menggerakkan gelombang suara kesederhanaan menerusi promosi dialog, nilai toleransi dan usaha atau gesaan ke arah kerjasama lebih erat dalam kalangan masyarakat antarabangsa.

    Ia menjurus kepada agenda mempromosikan kesederhanaan sebagai nilai yang membawa kepada keamanan dan keselamatan.

    Resolusi terbabit turut meminta komuniti antarabangsa mendukung dan mengiktiraf GMM.

    Nasharudin berkata, GMM sudah merangka aktiviti susulan bagi mempromosi pendekatan kesederhanaan, baik di peringkat dalam negara, serantau atau global.

    "Pengiktirafan 2019 sebagai Tahun Kesederhanaan Global memerlukan GMM terus memperluaskan

    aktivitinya di peringkat antarabangsa sebagai kesinambungan usaha sedia ada," katanya.

    Beliau turut merakamkan penghargaan terhadap Najib, Wisma Putra terutama pejabat Perwakilan Tetap Malaysia di New York dan rakyat Malaysia yang bersatu dalam mengangkat suara Malaysia ke persada dunia menerusi pendekatan kesederhanaan. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " PBB Terima Resolusi Kesederhanaan Malaysia "