• PBB Sebuyau Kemuka Cadangan Tiga Jawatan Tertinggi Dikekalkan

    Published: Thursday, 7 December 2017
    A- A+

    KUCHING: Tiga jawatan tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), iaitu presiden dan dua timbalan presiden dicadangakan untuk dikekalkan semasa pemilihan Perhimpunan Agung Tritahunan (TGM) PBB nanti.

    Memetik laporan Utusan Borneo, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau Datuk Julaihi Narawi brkata, usul yang dikemukakan oleh PBB Cawangan Sebuyau itu telah diputuskan semasa Mesyuarat Perwakilan PBB Cawangan Sebuyau yang diadakan di sini, semalam.

    “Kami telah mengemukakan beberapa usul pagi tadi (semalam) di mana PBB Sebuyau mencadangkan supaya Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg kekal dan diberi mandat sepenuhnya sebagai presiden PBB dan Ketua Menteri.

    “Keduanya, kami mengambil keputusan juga mencadangkan supaya Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Douglas Uggah Embas dipilih serta disahkan sebagai timbalan presiden PBB, yang mana sekarang mereka masih memangku jawatan berkenaan,” katanya.

    Selain itu, menurutnya, mesyuarat juga mengambil ketetapan supaya PBB menjadi parti berakar umbi di kawasan luar bandar.

    “Peranan akar umbi juga memainkan peranan penting untuk mengukuhkan PBB serta menjadi tulang belakang kerajaan Barisan Nasional (BN) serta parti kedua terbesar di Malaysia.

    “Maka harapan kita juga agar parti akan dapat terus mempunyai agenda pembangunan terutama di kawasan luar bandar,” tegasnya.

    Julaihi yang juga naib presiden PBB memberitahu, beliau yakin bahawa agenda pembangunan luar bandar amat penting kerana ia menjadi harapan masyarakat yang juga merupakan sebahagian daripada penyokong kuat PBB.

    Tambahnya, pelbagai pembangunan telah dirancang dan bakal dilaksanakan kerajaan kepada penduduk luar bandar termasuk di jalan pesisir.

    Malah katanya, kebanyakan rakyat kini dapat dihubungi dengan adanya pembangunan seperti pembinaan jalan raya, pembinaan jambatan selain bekalan air dan elektrik.

    “Kita juga percaya bukan saja perhubungan tetapi kemudahan Internet juga akan meningkatkan taraf hidup masyarakat kita di luar bandar, melalui ekonomi digital,” tegasnya.

    PBB kata beliau, mengutamakan perpaduan dan perjuangan bersama yang tidak hanya menumpukan kepada satu kaum tetapi rakyat secara keseluruhan tanpa mengira latar belakang, kaum dan budaya. – Sarawakiana
  • No Comment to " PBB Sebuyau Kemuka Cadangan Tiga Jawatan Tertinggi Dikekalkan "