• PBB Perjuangan Hak Sarawak Keseluruhan - Abg Jo

    Published: Sunday, 3 December 2017
    A- A+

    KUCHING - Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) adalah parti yang bukan sahaja memperjuangkan hak kaum Bumiputera, sebaliknya memperjuangkan hak orang Sarawak keseluruhannya, kata Ketua Menteri Datuk Patingggi Abang Johari Tun Openg.

    Abang Johari, yang juga Presiden PBB, berkata sebagai tulang belakang Barisan Nasional (BN) di Sarawak, PBB harus menguatkan barisan kepimpinan dan mempunyai strategi sendiri untuk mempertahankan hak orang Sarawak tanpa mengira latar belakang kaum serta fahaman politik mereka.

    "Semangat dalam PBB sangat jitu untuk melonjakkan PBB. Kita lonjakkan parti kita bersama-sama kerana PBB adalah landasan untuk masa depan negeri Sarawak," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan PBB Zon 1 Kuching di Penview Convention Centre di sini hari ini.

    PBB, katanya, adalah sebuah parti yang berpandangan jauh dan tahu masa depannya.

    Sehubungan itu, beliau mengingatkan pemimpin generasi baharu parti itu supaya sentiasa bersatu dan peka kepada perubahan mengikut peredaran masa untuk memperkasakan parti.

    "Biar PBB terus memperjuangkan hak orang Sarawak dan menaik taraf kehidupan orang Sarawak," tambahnya.

    Mengenai pembangunan, Abang Johari menyeru agar anak muda pelbagai kaum di negeri ini bersatu bagi membina negeri ini ke arah kecemerlangan.

    "Kita perlu menguruskan ekonomi negeri kita secara ekonomi moden, kita ubah negeri kita ke arah lebih moden macam Silicon Valley," tambah beliau.

    Menurut Abang Johari kekuatan sesebuah negeri terletak kepada rakyatnya dari segi intelektual , sosial dan keharmonian.- BERNAMA
  • No Comment to " PBB Perjuangan Hak Sarawak Keseluruhan - Abg Jo "