• PBB Dakwa Tentera Myanmar Sengaja Bunuh Penduduk Islam Rohingya

    Reporter: Admin
    Published: Wednesday, 20 December 2017
    A- A+
    GENEVA, Switzerland – Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Zeid Raad Al Hussein memberi­tahu agensi berita AFP kelmarin bahawa Myanmar me­rancang serangan ganas terhadap penduduk minoriti Islam Rohingya dan tidak menolak penghapusan etnik berlaku.

    “Keganasan tentera Myanmar terhadap etnik Ro­hingya dirancang terlebih dahulu.

    “Ia bukannya insiden ke­ganasan yang tidak disengajakan,” kata Zeid.

    “Mengapa perlu membunuh anak kecil jika sasaran kamu ialah pemberontak?,” tambahnya.

    Agensi PBB itu menerbitkan sebuah laporan pada Februari lalu yang menceritakan tentang jenayah kejam yang berlaku termasuk kanak-kanak Rohingya di­sembelih selepas mewawancara sebilangan pelarian di daerah Cox’s Bazaar, Bangladesh.

    Ketua hak asasi PBB itu berkata lagi, sebuah mahkamah (tribunal antara­bangsa) akan memutuskan sama ada penghapusan etnik berlaku di Rakhine tetapi ‘kita tidak boleh menolak kemungkinan itu’.

    Ditanya sama ada pemimpin awam Myanmar, Aung San Suu Kyi turut bertanggungjawab berhubung kekejaman terhadap ­etnik Rohingya,­ Zeid berkata, perkara itu juga perlu diputuskan oleh mahkamah.

    Pertubuhan amal, Doktor Tanpa Sempadan ber­kata baru-baru ini bahawa sekurang-kurangnya 6,700 etnik Rohingya maut pada bulan pertama tentera ­Myanmar melancarkan operasi untuk menghapuskan pemberontak di Rak­hine, Ogos lalu.

    Lebih 655,000 etnik Islam itu melarikan diri ke daerah Cox’s Bazzar di Bangladesh sejak kempen ketenteraan bermula.

    Myanmar berulang kali menafikan melakukan kekejaman di Rakhine dan me­nganggap operasi tentera itu wajar bagi membalas serangan pemberontak Rohingya ke atas lebih 30 pos polis pada 25 Ogos lalu, meng­akibatkan 12 anggota pasukan keselamatan terbunuh.

    Namun, kata Zeid, bukti tidak menyokong kenyataan tentera Myanmar. Menurutnya, keganasan pada tahun lalu sahaja telah memaksa 300,000 penduduk Rohingya melarikan diri ke Bangladesh. – AFP/Kosmo

    Subjects:

  • No Comment to " PBB Dakwa Tentera Myanmar Sengaja Bunuh Penduduk Islam Rohingya "