• Patuhi Larangan, Elak Penipuan

    Published: Thursday, 21 December 2017
    A- A+


    ISU penjualan air zam zam bukan perkara baharu malah Kementerian Kesihatan pernah keluarkan larangan penjualan sejak 2015 lagi.

    Kenyataan mengenai larangan itu dikeluarkan berikutan laporan media tempatan yang mendapati terdapat penjualan air zam zam tiruan.

    Melalui kenyataan itu, Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penjualan air zam zam di negara ini adalah tidak dibenarkan, sebaliknya pengedarannya secara percuma oleh Kerajaan Arab Saudi hanya diberi kepada jemaah haji dan umrah serta pelawat untuk kegunaan persendirian dalam kuantiti yang terhad semasa berlepas dari Arab Saudi.

    Selepas penegasan terbaharu mengenai larangan penjualan oleh Kementerian Kesihatan baru-baru ini, masyarakat mula memberi pelbagai reaksi. Ikuti laporan rentetan tindakan penguatkuasaan secara berterusan terhadap penjualan air zam zam di negara ini selaras dengan larangan oleh Kerajaan Arab Saudi.

    SHAH ALAM - Air zam zam bukanlah air untuk dijual kepada mana-mana pihak atau individu bagi tujuan untuk mendapatkan keuntungan, kata Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

    Menurutnya, Kerajaan Arab Saudi memberi air zam zam secara percuma dan mempersoalkan tindakan beberapa pihak yang menjual air tersebut bagi tujuan komersial.

    “Arab Saudi sendiri beri secara percuma kepada umat Islam. (Jadi) kenapa ada pihak yang mengambil kesempatan berniaga.

    “Tiada air zam zam yang dieksport oleh Saudi untuk tujuan perniagaan, maka air (zam zam) yang banyak yang dijual selama ini diambil dari mana?,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

    Ditanya mengenai dakwaan terdapat individu hanya boleh meminum air zam zam sahaja dan tidak boleh meminum air lain, Mohd Asri berkata, jika benar ada kes sedemikian, pihak berkenaan sepatutnya memberikan air zam zam secara percuma dan hanya mengenakan caj upah kerja sahaja.

    Sehubungan itu, Mohd Asri meminta rakyat Malaysia untuk mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan yang tidak membenarkan penjualan air zam zam di kedai-kedai seluruh negara.

    “Rakyat hendaklah patut kepada arahan Kerajaan. Ini kerana air zam zam yang dijual secara komersial itu kebanyakannya palsu.

    “Patuhi arahan kerajaan (ini) kerana jika tidak, ia akan menggalakkan penipuan,” tegasnya.- Sinar Harian

    Subjects:

  • No Comment to " Patuhi Larangan, Elak Penipuan "