• Pasangan Kekasih Jual Bayi Kembar Atas Talian Diberkas

    Published: Wednesday, 13 December 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Polis menahan sepasang kekasih bagi membantu siasatan kes cubaan menjual bayi kembar dengan harga RM15,000 dalam laman web jual beli terkemuka yang tular pada Jumaat lalu, semalam.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim berkata, pasa­ngan berkenaan masing-masing ditahan di rumah mereka di Setapak dan Ampang.

    “Suspek wanita berusia 20 tahun ditahan kira-kira pada pukul 8 malam manakala pasangannya yang berusia 18 tahun ditahan satu jam kemudian.

    “Kita terima aduan suspek me­ngiklankan dua bayi kembar milik mereka yang berusia empat bulan untuk dijual dengan harga RM15,000 di sebuah laman web jual beli,” katanya ketika dihubu­ngi di sini hari ini.

    Mazlan berkata, kedua-dua suspek sudah dilepaskan dengan jaminan polis dan kedua-dua bayi lelaki tersebut diserahkan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat.

    “Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 48 Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum denda tidak lebih RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” jelasnya.

    Jumaat lalu, satu iklan dimuat naik di sebuah laman web jual beli terkemuka negara, yang meletakkan gambar sepasang bayi kembar untuk dijual dengan harga RM15,000.

    Iklan terbabit kemudian tular di laman media sosial dan aplikasi pesanan WhatsApp sehingga menarik perhatian aktivis sosial, Syed Azmi Alhabshi untuk menyelamatkan kembar terbabit sebelum membuat laporan polis.

    - Utusan Online

    Subjects:

  • No Comment to " Pasangan Kekasih Jual Bayi Kembar Atas Talian Diberkas "