• Parti Dayak Hanya Bergantung Ihsan PH?

    Published: Wednesday, 27 December 2017
    A- A+
    Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) merupakan sebuah parti tempatan yang banyak membangkitkan isu tempatan dan menolak agenda politik dari luar terutama parti politik dari Malaya.

    Apalagi Barisan Nasional (BN) yang merupakan seteru PBDSB didakwa kononnya tidak memperjuangkan isu-isu Sarawak yang dibangkit. Alasannya BN Sarawak menjadi 'Ulun' Malaya.

    Kenyataan Pengerusi PBDSB Cobbold John sebelum ini jelas menolak sepenuhnya politik dari Malaya dan mendakwa hanya parti tempatan mampu memperjuangkan segala perkara yang berkaitan negeri ini.

    Cobbold lantang menyebut isu Sarawak terutama isu berkaitan Dayak khasnya hanya perlu dibangkit dan diselesaikan oleh parti politik tempatan.

    Tidak dinafikan apa yang dinyatakan oleh Cobbold ada kebenarannya. Tetapi adakah Cobbold melihat secara menyeluruh tentang BN. Dalam BN terdiri daripada berbagai parti komponen.

    Di Sarawak sahaja terdapat empat parti politik membentuk BN. Parti Pesaka Bumiputera Bersatu ( PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif Sarawak (PDP) dan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP). Parti politik tersebut merupakan parti berteraskan anak Sarawak sepenuhnya.

    Untuk mengukuhkan BN membentuk kerajaan Malaysia, kesemua parti komponen BN Sarawak bergabung dengan BN Malaya dan BN Sabah.

    Walaupun bergabung tetapi BN Sarawak tetap meneruskan perjuangan untuk negeri dan rakyat Sarawak. Dalam hal ini Cobbold tidak dapat membezakan antara kerjasama dan 'ulun'.

    Namun dalam kelantangan Cobbold menolak politik Malaya, dalam satu kenyataan semalam Cobbold bagaikan menjilat kembali ludah sendiri

    Cobbold menyeru agar Pakatan Harapan harus bertindak lebih proaktif sekiranya berjaya menawan Putrajaya pada PRU14. Katanya, anjakan pardigma PH adalah perlu dan bukan seperti mana sebelumnya.

    Jelas sekali Cobbold tidak yakin dengan kemampuan PBDSB sendiri sehingga masih bergantung ihsan dari Pakatan Harapan yang terdiri dari DAP, PKR, PAN dan PPBM yang mana terang-terangan merupakan parti politik berasal dari Malaya. – A Halim Jantan

    Subjects:

  • No Comment to " Parti Dayak Hanya Bergantung Ihsan PH? "