• Parlimen Saratok Kerusi Tradisi PDP

    Published: Monday, 11 December 2017
    A- A+

    Parti Demokratik Progresif (PDP) menegaskan kerusi parlimen Saratok merupakan kerusi tradisi milik parti tersebut dan tidak akan sewenang-wenangnya diserahkan kepada orang luar parti untuk menjadi calon pada pilihanraya umum akan datang.

    Naib Presiden Kanan PDP, Datuk Paul Igai berkata, partinya sudah mempunyai dua calon yang berpotensi untuk kerusi berkenaan.

    Meskipun penyandang kerusi berkenaan Tan Sri William Mawan kembali kepada parti, Paul berkata partinya tidak dapat mengesyorkan beliau sebagai calon.

    "Kami tidak boleh mengesyorkan beliau untuk mempertahankan Saratok, yang secara tradisinya merupakan kerusi PDP," katanya seperti yang dilaporkan The Borneo Post.

    Mawan yang merupakan bekas presiden SPDP memenangi kerusi Saratok pada 2013 selepas menewaskan Ali Biju dari PKR.

    Namun, akibat pertikaian dalaman, beliau keluar parti pada Mei 2014 dan menubuhkan parti baharu yang dikenali Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS).

    Walaubagaimanapun, PDP menyerahkan keputusan sepenuhnya kepada kepimpinan tertinggi Barisan Nasional untuk menentukan calon yang akan bertanding sama ada mempertahankan Mawan ataupun tidak.

    "Kami bersedia menerima apa jua keputusan yang dibuat oleh kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) dalam pencalonan parti dan sedar bahawa kepimpinan tertinggi dalam BN mempunyai banyak pilihan dan meletakkan calon BN langsung adalah salah satu pilihan," ujarnya. - Sarawakiana

    Subjects:

  • No Comment to " Parlimen Saratok Kerusi Tradisi PDP "