• Panik punca terpedaya penjenayah siber

    Published: Monday, 11 December 2017
    A- A+


    JUMLAH kerugian kes penipuan membabitkan jenayah komersial di Kuala Lumpur mencatat penurunan antara Januari hingga November tahun ini hasil kempen kesedaran dianjur Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

    Dalam tempoh 11 bulan tahun ini, kerugian akibat jenayah itu lebih RM242 juta kerugian berbanding lebih RM300 juta dalam tempoh sama tahun lalu, iaitu penurunan 19.5 peratus

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim, berkata meskipun ada penurunan, pihaknya menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) peringkat kontinjen dan daerah tetap komited memastikan tiada kes penipuan berlaku di Kuala Lumpur.

    “Saya mewajibkan kempen kesedaran diadakan sebulan sekali di peringkat daerah dan sekali dalam tempoh dua bulan untuk peringkat kontinjen agar masyarakat lebih sedar modus operandi sindiket.

    “Kebiasaannya suspek atau dalang kes penipuan mengambil kesempatan terhadap mereka yang panik atau tidak mempunyai maklumat mengenai kegiatan ini," katanya pada sidang media selepas Program Pencegahan Jenayah ‘Be Smart Dont Be a Victim of Cybercrime’,

    Program itu dianjurkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Polis Kuala Lumpur, semalam.

    Menurutnya, jenis kes jenayah komersial terbanyak ialah penipuan melalui komputer dan telefon bimbit.

    “Mangsa dihubungi dan dimaklumkan kononnya mereka mempunyai masalah harian seperti hutang bank, pembayaran pinjaman, kad kredit atau terbabit dalam kes jenayah.

    “Mangsa yang tertipu biasanya panik sebelum menyedari mereka terpedaya,” katanya.-hmetro

    Subjects:

  • No Comment to " Panik punca terpedaya penjenayah siber "