• Pandelela sambut Krismas bersama keluarga

    Published: Sunday, 24 December 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Selepas mengharungi tahun yang padat dengan latihan dan kejohanan, ikon terjun negara Pandelela Rinong akhirnya boleh berehat seketika di negeri kelahirannya, Kuching, Sarawak sempena menyambut Krismas.

    Penerjun 24 tahun itu, yang menghabiskan kebanyakan masanya berlatih di Bukit Jalil atau bertanding di luar negara, berkata dia menghargai setiap peluang diperolehnya untuk bersama keluarga - bapanya Pamg Joheng, ibunya Hartini Lamim, abangnya Pardika Indoma serta adik-adik perempuannya Pici Parnia dan Parcelia Renyelia.

    "Saya menghargai saat bersama keluarga, kebanyakan masa saya bersendirian di Kuala Lumpur bagi kerana latihan dan belajar," kata Pandelela.

    "Saya cukup gembira dapat pulang ke kampung. Krismas tahun ini peluang terbaik untuk merapatkan hubungan kami sekeluarga - saya mempunyai seorang abang dan dua adik perempuan - dan berjumpa kawan-kawan di Kuching. Saya juga tidak sabar untuk menikmati masakan emak saya setiap kali saya balik ke Sarawak."

    Pandelela, ketika ini mengikuti jurusan Sains Sukan di Universiti Malaya, muncul atlet pertama negara memenangi pingat di temasya Olimpik dalam acara sukan selain badminton.

    Dia meraih pingat gangsa dalam acara 10m platform individu di Olimpik London 2012. Dia turut mencatat rekod sebagai atlet wanita pertama negara memenangi pingat Olimpik.

    Pandelela turut meraih pingat perak dalam acara 10m platform seirama bersama Cheong Jun Hoong di Olimpik Rio tahun lalu, selain pingat gangsa dalam acara sama di Kejuaraan Dunia Hungary tahun ini.

    Musim depan Pandelela akan memberi tumpuan kepada Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia dan Sukan Asia di Indonesia. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Pandelela sambut Krismas bersama keluarga "