• Pandai Sangat Nak Buli Orang

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Tuesday, 12 December 2017
    A- A+

    Polis menahan seorang lelaki dipercayai pembuli jalan raya, tengah malam tadi, selepas disyaki terbabit dalam kejadian membuli dengan cara menghimpit kenderaan pengguna lain di Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL), Johor Bahru, kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU) Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, lelaki berusia 34 tahun itu ditahan di sebuah bilik hotel di bandar Kluang, Johor bersama seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga Vietnam.

    Beliau berkata, dalam tangkapan itu, polis turut menjumpai sejumlah dadah dipercayai heroin seberat 3.19 gram dan syabu (9.95 gram) serta sepucuk pistol tiruan bertulis Beretta dalam kereta milik suspek.

    “Pada 8.30 pagi kelmarin, suspek disyaki menghimpit keretanya ke atas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki tiga lelaki lain secara merbahaya.

    “Sebaik mangsa memberhentikan kenderaan, suspek turun dari keretanya dan menakutkan mangsa dengan alatan besi.

    “Mangsa kemudian meneruskan pemanduan dan di Kilometer 6.3 EDL, suspek sekali lagi menghimpit kenderaan mangsa dan bertindak menakutkannya,” katanya.

    Mohd Taib berkata, selain dadah dan pistol tiruan, pihaknya turut merampas kereta milik suspek serta satu alatan besi.

    Katanya, hasil semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau dan juga satu rekod kesalahan dadah.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBU manakala rampasan dadah di bawah siasatan IPD Kluang.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Pandai Sangat Nak Buli Orang "