• Palestin akan heret AS ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa

    Published: Thursday, 7 December 2017
    A- A+
    Datuk Dr. Anwar Al-Agha (Foto UTUSAN)
    KUALA LUMPUR 7 Dis. - Palestin akan mengheret Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa jika keadaan di Palestin bertambah buruk ekoran kenyataan Trump yang mengiktiraf secara rasmi Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

    Duta Palestin ke Malaysia, Datuk Dr. Anwar Al-Agha berkata, ketika ini pihaknya sedang mengadakan rundingan dengan beberapa parti berbeza untuk membawa isu tersebut ke mahkamah.

    Katanya, Trump sepatutnya tidak masuk campur mengenai isu yang berlaku di Palestin kerana ia mencabuli hak asasi manusia dan mengganggu gugat keamanan rakyat Palestin.

    “Kami sebagai rakyat Palestin tidak akan sesekali membenarkan AS atau mana-mana pihak mencampuri urusan dalaman negara kami.

    “Malah, Presiden kami juga, Mahmud Abbas semalam menyatakan bahawa akan mengekalkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Majlis Makan Tengah Hari bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak di Perhimpunan Agung UMNO ke-71 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

    Semalam lapan negara menentang pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel yang diumumkan Trump semalam dan meminta Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan mesyuarat tergempar minggu ini.

    Lapan negara tersebut ialah Bolivia, Mesir, Perancis, Itali, Senegal, Sweden, United Kingdom (UK) dan Uruguay.

    Sementara itu, Ketua Diaspora Hamas, Dr. Maher Salah berkatq, pihaknya menentang sekeras-kerasnya pengisytiharan oleh Trump itu dan berharap akan ada rundingan kedua-dua belah bagi memastikan Baitulmaqdis kekal sebagai ibu negara Palestin.

    “Baitulmaqdis tidak akan menjadi ibu negara Palestin dan saya juga berharap negara-negara Islam lain akan terus menyokong Palestin,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Palestin akan heret AS ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa "