• Pakatan Harapan Bakal Umum Calon Perdana Menteri, Sekali Lagi!

    Published: Tuesday, 19 December 2017
    A- A+

    Kemelut calon Perdana Menteri Pakatan Harapan masih belum selesai dan pakatan gandingan PKR, DAP, PAN dan PPBM itu dikatakan akan sekali lagi mengumumkan calon terbaharunya Januari tahun hadapan.

    Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, partinya masih mengekalkan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku calon utama, namun memandangkan Anwar masih dipenjara, calon lain perlu dipilih untuk mengisi kerusi berkenaan.

    "Ia akan diumumkan bulan hadapan," kata Guan Eng yang kemudiannya menambah "harap-haraplah".

    Pakatan Harapan semenjak ditubuhkan pada 2015 buat kali pertama secara rasmi mengumumkan calon Perdana Menterinya pada Mei 2017 dengan mengumumkan Anwar Perdana Menteri ke 7 - optimis akan menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

    Pengumuman yang dibuat ketika Kongres PKR itu disokong oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Presiden PAN, Mohamad Sabu yang hadir pada masjlis berkenaan.

    Hadir sama, Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad tetapi tidak menyatakan sokongan secara rasmi.

    Berikutan Anwar masih menjalani hukuman penjara dan dilarang menyertai politik selama lima tahun selepas dibebaskan, Pakatan Harapan kemudiannya bersetuju mencalonkan isteri Anwar merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai 'pemanas kerusi' Perdana Menteri sementara.

    Seterusnya pada Disember 2017, Pakatan Harapan sekali lagi menukar keputusannya dengan mencalonkan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dan Wan Azizah diturunkan pangkat kepada Timbalan Perdana Menteri.

    Keputusan dibuat dalam mesyuarat pada 1 dan 2 Disember disahkan oleh Ahli Biro Politik PKR, Datuk Johari Abdul dan masih menanti restu Anwar disebalik tirai besi.

    Timbul pula desas-desus tidak lama kemudian bahawa Anwar tidak bersetuju dengan pencalonan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, lantas memaksa Pakatan Harapan bersidang sekali lagi dan dikatakan akan membuat keputusan bulan hadapan.

    Ditanya samaada terdapat ahli DAP berminat untuk menjadi Perdana Menteri, Guan Eng berkata "Kami tidak pernah minta jawatan tersebut," sekaligus menafikan dakwaan Kit Siang berminat dengan jawatan nombor satu negara.

    Kemelut berterusan calon Perdana Menteri Pakatan Harapan kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak jelas menunjukkan pakatan
    pembangkang itu masih keliru.

    Katanya, belum pernah ada satu gabungan yang begitu keliru tentang siapa yang akan diletakkan sebagai perdana menteri bayangan sambil berkata sepatutnya sekarang mereka sudahpun mempunyai kabinet bayangan penuh.

    "Tetapi Pakatan masih tidak dapat melakukan perkara yang mudah seperti ini. Kekeliruan menjadi lebih buruk apabila Tun Dr Mahathir Mohamad (Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia) mengumumkan awal tahun ini bahawa beliau adalah pemimpin tertinggi Pakatan.

    "Kemudian, para pemimpin DAP sebaliknya membuat semua pengumuman dasar bagi pihak Pakatan. Kemudian nama Anwar Ibrahim (ketua umum PKR) disebut-sebut sebagai calon perdana menteri tetapi orang lain akan menjadi perdana menteri sementara kerana dia masih berada di penjara,"kata beliau menerusi catatan dalam blog beliau. - MalaysianDigest

    Subjects:

  • No Comment to " Pakatan Harapan Bakal Umum Calon Perdana Menteri, Sekali Lagi! "