• Padah terima suapan

    Reporter: Yusz Man
    Published: Tuesday, 19 December 2017
    A- A+


    PESARA Jabatan Mineral dan Geosains Perak didenda RM16,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini selepas mengaku bersalah menerima rasuah RM300 ketika masih berkhidmat dua tahun lalu.

    Tertuduh R Thangavelu, 61, ketika sebutan semula kes pada 16 November lalu menukar pengakuan kepada bersalah selepas mengaku tidak bersalah apabila didakwa pada 10 Ogos lalu.

    Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

    Hakim S Indra Nehru yang membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM9,000 ketika itu menetapkan hari ini bagi pengurusan fakta kes dan hukuman terhadap tertuduh.

    Thangavelu yang diwakili peguam M Kathan dalam rayuannya meminta hukuman minima kerana sudah berusia dan pernah berkhidmat dengan kerajaan selama 37 tahun.

    Bekas Pegawai Geosains itu juga pernah menjalani pembedahan pintasan jantung pada 2008, dan kini masih menerima rawatan susulan selain jumlah wang terbabit dalam kesalahan itu hanya RM300.

    Pertuduhan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Wahida Jalaluddin yang meminta mahkamah mengenakan hukuman sewajarnya bagi menjadi teladan kepada penjawat awam lain.

    Indra Nehru kemudian menjatuhkan hukuman denda RM16,000 dan turut mengarahkan Thangavelu dipenjara lima bulan jika gagal membayar denda.

    Mengikut pertuduhan, Thangavelu didakwa menerima wang tunai RM300 daripada Mohamad Imran Abdullah yang diketahui mempunyai hubungan kerja rasminya.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 4.10 petang, 4 September 2015 di bilik pejabat Tingkat 1, Bangunan Makmal Kimiabumi, Bahagian Perkhidmatan Teknikal Jabatan Mineral dan Geosains, Perak.-hmetro

    Subjects:

  • No Comment to " Padah terima suapan "