• Ordinan Anak Angkat Sarawak Perlu Dipinda

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Wednesday, 20 December 2017
    A- A+

    KOTA SAMARAHAN: Bagi menangani isu pengambilan anak angkat bukan warganegara oleh pasangan tempatan, Ordinan Anak Angkat di negeri ini perlu dikaji semula atau dipinda.

    Memetik laporan Utusan Borneo, Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) Sarawak Francis Johen Adam berkata walaupun isu tersebut tidak begitu serius di negeri ini, namun ia perlu ditangani demi masa depan kanak-kanak terlibat.

    Menurutnya, syarat sedia ada juga penting untuk melindungi hak Sarawak di mana kanak-kanak itu mesti ada pertalian dengan Sarawak sebelum diangkat.

    “Bagaimanapun, terpulang kepada kerajaan negeri untuk mengkaji semula undang-undang dan dasar sedia ada atau tampil dengan inisiatif lain bagi menangani masalah-masalah seperti ini.

    “Bagi kami di SUHAKAM, ini merupakan hak asasi manusia di mana isu seperti ini kami tidak dapat elakkan dan kami akan sentiasa bekerjasama dengan pihak lain untuk menanganinya dari semasa ke semasa dan mencari jalan penyelesaian,” katanya.

    Francis memberitahu, pengambilan anak angkat bukan warganegara oleh pasangan tempatan adalah tidak dibenarkan di bawah undang-undang tempatan sedia ada di Sarawak, di mana syarat ditetapkan dalam Ordinan Anak Angkat Sarawak bahawa kanak-kanak itu mesti ada pertalian dengan Sarawak.

    Katanya, keadaan tersebut telah berlaku disebabkan wanita warga asing yang berpasangan dengan lelaki tempatan tetapi tidak mendaftarkan perkahwinan, sehingga melahirkan anak di negeri ini.

    “Kadang-kadang anak yang dilahirkan itu diambil pasangan tempatan sebagai anak angkat, namun akhirnya kanak-kanak tersebut berhadapan masalah untuk mendapatkan taraf kewarganegaraan, kad pengenalan dan sijil lahir.

    “Kanak-kanak tersebut mungkin boleh tinggal di sini tetapi usaha untuk mendapatkan kewarganegaraan Malaysia akan memakan masa yang panjang selain menyebabkan mereka tidak dapat menikmati kemudahan persekolahan dan perubatan,” jelasnya.

    Tambahnya lagi, keadaan seperti itu menyebabkan taraf hak kanak-kanak tersebut menjadi tanda tanya.

    “Kami tahu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan agensi-agensi negeri telah bekerjasama untuk mengatasi masalah ini, tetapi usaha berterusan dan inisiatif perlu ditingkatkan bagi menangani kes-kes seperti ini khususnya di luar bandar.

    “Kami (SUHAKAM) juga ada menerima aduan mengenai masalah ini dan cuba membantu dari segi membuat sokongan dan memberi maklumat kepada keluarga tersebut,” katanya. – Sarawakiana
  • No Comment to " Ordinan Anak Angkat Sarawak Perlu Dipinda "