• Optimumkan Penggunaan Tanah Untuk Mencapai Negeri Maju 2030

    Published: Wednesday, 6 December 2017
    A- A+
    Sarawak merupakan negeri yang luas serta memiliki tanah yang subur untuk diusahakan dan mampu menjadi negeri pengeluar hasil pertanian terbesar di negara ini jika rakyat berusaha lebih gigih bersama kerajaan untuk merealisasikan impian tersebut.

    Kerajaan mempunyai dasar yang akan membantu rakyat serta perancangan yang teliti agar rakyat terus mengusaha tanah yang selama ini terbiar tanpa diusaha.

    Doktrin pembangunan kerajaan, dalam merancang dan melaksanakan dasar tanah di negeri ini mengutamakan perancangan pembangunan yang mapan dan lestari dengan mengambil kira pembangunan yang seimbang antara fizikal dan mental.

    Perancangan juga menjurus kepada penggunaan tanah secara optimum agar dapat menggerakkan aktiviti ekonomi yang sekaligus memberi keuntungan kepada negeri dan juga rakyat keseluruhannya.

    Tanah yang tidak dibangunkan secara sistematik tidak akan memberi keuntungan dan kerajaan bertindak menjadikan tanah ini sebagai aset pemangkin melonjakkan negeri ini menjadi negeri maju dalam Malaysia pada tahun 2030.

    Perancangan kerajaan juga mengambil kira keutamaan dan keperluan rakyat hari ini dan masa akan datang diberi perhatian sewajarnya.

    Pembangunan yang telah dilaksanakan dan akan dilaksanakan adalah bertunjangkan asas pembangunan daripada rakyat kepada rakyat dan untuk rakyat. Sudah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan sumber-sumber semula jadi yang ada dioptimumkan penggunaannya demi kesejahteraan negeri Sarawak .

    Memang jelas kerajaan berkehendakkan Sarawak menjadi sebuah negeri yang kompetitif di peringkat nasional dan global. Pembangunan terutamanya di kawasan luar bandar yang melibatkan tanah hak adat Bumiputera akan memberi peluang kepada kawasan berkenaan untuk berkembang maju kerana ia sekaligus akan membangunkan bersama aspek ekonomi, infrastruktur dan sosial. Ia juga akan membuka peluang kepada penduduk setempat untuk mengubah taraf kehidupan kepada yang lebih baik.

    Dalam hal berkaitan, rakyat harus mengguna peluang yang ada untuk mengusaha tanah dan sentiasa bersama kerajaan agar setiap yang dilaksanakan akan berjalan lancar serta melonjak Sarawak sebagai pengeluar sumber pertanian terbesar di peringkat global suatu hari nanti.

    Subjects:

  • No Comment to " Optimumkan Penggunaan Tanah Untuk Mencapai Negeri Maju 2030 "