• Operasi RELA di ESSZONE mulai 1 Januari - TPM

    Reporter: Yusz Man
    Published: Thursday, 14 December 2017
    A- A+


    LAHAD DATU: Kumpulan perintis 500 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang ditugaskan membantu memantau keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE), dijadual mula beroperasi secara rasmi 1 Januari depan.

    Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pergerakan anggota terbabit sedang disusun atur dan jumlahnya dijangka ditambah berdasarkan keperluan semasa dan peruntukan yang disediakan kerajaan.

    "Anggota RELA terbabit sudah ditempatkan untuk membantu Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di ESSZONE tetapi operasi penugasan secara rasmi akan bermula pada 1 Januari depan," katanya.

    Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian kepada media selepas menghadiri majlis taklimat bersama ESSCOM dan RELA di Ibu Pejabat Batalion 17 Pasukan Gerakan Am (PGA) Lahad Datu, di sini, hari ini.

    Yang turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman; Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim; Komander ESSCOM, Datuk Hazani Ghazali.

    Selain itu, Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin; Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din dan Ketua Pengarah RELA, Zulkifli Abidin.

    September lalu, Ahmad Zahid mengumumkan persetujuan kerajaan menggerakkan 6,148 pegawai dan anggota RELA bagi membantu operasi pemantauan pasukan keselamatan di 10 daerah ESSZONE dengan seramai 500 orang sebagai perintis.

    Menerusi pendekatan itu, anggota RELA akan menjadi barisan kedua pertahanan di ESSZONE, manakala agensi keselamatan lain dikekalkan sebagai pasukan utama pemantauan dan operasi.

    Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, satu perhimpunan besar-besaran akan dianjurkan sempena sambutan ulang tahun kelima penubuhan ESSCOM pada 5 Mac depan.

    "Perhimpunan itu besar kemungkinan akan diadakan di Lahad Datu. Selain ESSCOM, urus setia sambutan juga membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), RELA dan MKN.

    "Selain pasukan keselamatan, perhimpunan itu akan turut membabitkan pemimpin masyarakat termasuk dari kawasan pantai barat Sabah," katanya.

    Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri berkata, perjumpaan dengan pegawai ESSCOM, RELA dan pasukan keselamatan pada sesi taklimat hari ini adalah bagi membincangkan isu keselamatan di ESSZONE dan seluruh Sabah.

    Ia, katanya, termasuk usaha mengenal pasti kawasan yang terdedah kepada jenayah rentas sempadan bagi memastikan tiada kawasan di negeri ini dapat dibolosi ancaman berkenaan.

    "Kita juga mahu supaya kawalan rapi terus diberi di resort yang ada di sekitar ESSZONE menerusi ESSCOM untuk memastikan pelancong yang datang ke kawasan itu selamat," katanya.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Operasi RELA di ESSZONE mulai 1 Januari - TPM "