• OIC Perlu Bantah Cadangan Trump - TPM

    Published: Thursday, 7 December 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) perlu senada dalam membantah cadangan Amerika Syarikat (AS) dalam mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

    Timbalan Perdana Menteri berkata, ahli OIC perlu bertindak pantas terhadap perancangan pentadbiran Presiden Donald Trump untuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel kerana ia boleh mencetuskan krisis besar di rantau Asia Barat.

    "Kami memandang serius perkembangan ini dan saya harap anggota OIC sekata dalam bersuara untuk membantah sekeras-kerasnya sebarang usaha Amerika Syarikat mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

    "Negara anggota OIC mesti melihat perkembangan ini melangkaui isu Palestin kerana ia adalah isu antarabangsa," katanya.

    Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO, berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat delegasi Hamas yang diketuai ahli biro politiknya, Dr Maher Salah, menjelang Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

    Ahmad Zahid berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dijadual membuat kenyataan berhubung pendirian Malaysia berhubung perkembangan itu dalam tempoh terdekat.

    "Malaysia akan mengemukakan beberapa cadangan dan pelan tindakan untuk menangani isu berkenaan.

    "Cadangan berkenaan tidak akan menyentuh hal ehwal dalaman mana-mana negara termasuk negara kuasa besar tetapi kami harap ia akan membawa kepada penyelesaian masalah, sekali gus mengelak kemungkinan konflik," katanya.

    Beliau mengulas spekulasi AS mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, susulan lawatan Trump ke Israel pada Ahad lalu yang dilihat cenderung kepada pendirian kontroversi itu.

    Beberapa negara Islam menyuarakan kebimbangan mereka terhadap perkembangan itu, malah kerajaan Turki dilapor memberi amaran ia boleh mencetuskan ketegangan suasana. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " OIC Perlu Bantah Cadangan Trump - TPM "