• OIC Bincang Tindakan Diplomasi - Najib

    Published: Saturday, 9 December 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak yakin Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) tidak akan menggerakkan tindakan ketenteraan susulan tindakan Presiden Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis menjadi ibu negara Israel.

    Sebaliknya, Perdana Menteri berkata OIC akan membincangkan tindakan diplomasi dan rundingan kerana isu berkenaan menyentuh soal kedaulatan Baitulmaqdis yang sudah ditentukan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

    Namun, katanya, Malaysia bimbang kontroversi ini akan menyulitkan lagi proses penyelesaian damai dua negara - Palestin dan Israel - yang mungkin membawa ketegangan dan pertumpahan darah dahsyat jika tidak ditangani dengan berkesan.

    "Kita boleh bekerjasama dalam bidang lain tapi dalam hal ini (kedaulatan Baitulmaqdis) kita berpegang kepada prinsip kita. Kita tidak boleh terima tindakan ini kerana ia menyentuh soal kedaulatan yang ditentukan PBB dan Resolusi Majlis Keselamatan.

    "Ia juga akan menyulitkan penyelesaian dua negara. Di samping itu ia mungkin akan membawa ketegangan dan pertumpahan darah yang serius serta dahsyat jika tidak dibendung dengan sesuatu langkah berkesan.

    "Tetapi kerjasama kita dengan AS adalah multidimensi, dalam aspek lain kita boleh bekerjasama tetapi dalam soal prinsip, kita tetap dengan pendirian kita.

    "Saya difahamkan orang Kristian juga tidak senang hati dengan pengumuman itu dan negara Eropah juga hampir semua tidak bersetuju.

    "Maknanya bukan negara Islam sahaja yang tidak bersetuju, bahkan negara bukan Islam juga tidak bersetuju dengan keputuan itu. Bagaimanapun, tentangan kita ini tidak sampai ke tahap ketenteraan, tetapi peringkat diplomasi dan rundingan," katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucapan penangguhan Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

    Rabu lalu, Trump mengumumkan pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel. Tindakan itu dibantah pemimpin dunia Islam termasuk Malaysia.

    Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, turut menghubungi Najib kelmarin dan memintanya hadir ke persidangan tergempar OIC di Turki Selasa ini kerana menganggap suara Malaysia penting dalam mendepani kontroversi berkenaan.

    Malah, Najib terpaksa membatalkan rundingan tahunan dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, pada hari yang sama dan sudah menjelaskan kepada rakan sejawatannya bahawa persidangan tergempar OIC itu lebih utama kerana membabitkan kepentingan umat Islam.

    Perdana Menteri berkata, beliau akan diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, bagi menghadiri persidangan tergempar itu. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " OIC Bincang Tindakan Diplomasi - Najib "