• Nyanyian saya bagai diganggu - Liza Hanim

    Published: Wednesday, 6 December 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Liza Hanim lega apabila mampu beraksi dengan kemas dan kembali berada pada kedudukan pertama selepas berakhir konsert peringkat suku akhir Gegar Vaganza musim keempat.

    Beliau berkata, dirinya bersyukur kembali berupaya memberikan saingan dan beraksi dengan lebih baik berbanding persembahan pada konsert kelima ketika menyampaikan lagu Lelaki Teragung.

    "Saya amat bersyukur dan lega apabila dapat memberikan fokus ketika mengadakan persembahan, serta tidak lagi berdepan situasi merisaukan seperti minggu sebelumnya.

    "Saya sendiri sukar untuk mengerti, apa yang terjadi pada saya sehingga hilang fokus," katanya ketika ditemui BH Online.

    Liza berkata, pada persembahan dua minggu lalu, beliau berasa tidak tenang dan timbul pelbagai perasaan yang mengganggu tumpuannya.

    Penyanyi lagu Gelisah Mimpi ini bagaimanapun akur dengan kesilapan dilakukan dan memohon maaf daripada peminat dengan apa yang berlaku.

    "Saya rasa seperti ada gangguan ketika mahu menyanyi. Memang puas saya pujuk diri dan bertenang.

    "Apa yang saya ingat, saya hanya buka mulut dan menyanyi, serta saya sedar membuat kesilapan di beberapa bahagian," katanya.

    Liza berkata, beliau enggan berfikir perkara bukan-bukan, sebaliknya berdoa kepada Tuhan dan melakukan tanggungjawab yang sepatutnya.

    Bagi penyanyi ini, yang sudah tiga kali berada pada kedudukan nombor satu sepanjang pertandingan itu, beliau percaya semuanya adalah rezeki.

    "Saya bersyukur, tetapi sebenarnya berdebar kerana apabila kita berada pada kedudukan teratas, harapan dan jangkaan orang sangat tinggi sehingga ada kalanya berasa tertekan.

    "Bagi saya, setiap minggu tiada alasan untuk saya tidak berusaha memberikan yang terbaik. Saya tahu, ini adalah pertandingan," katanya.

    Liza turut berharap, beliau akan diberikan cabaran menyanyikan lagu Bahasa Inggeris seperti I Surrender nyanyian Celine Dion dalam pertandingan itu.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Nyanyian saya bagai diganggu - Liza Hanim "