• Nyanyi ala 'mabuk' jadi identiti - Firman

    Reporter: Yusz Man
    Published: Friday, 15 December 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Disindir 'macam orang mabuk menyanyi', vokalis dari seberang, Firman tidak tersinggung dengan komen yang dilayangkan menyentuh gaya persembahannya di pentas.

    Firman yang popular dengan lagu Kehilangan sebaliknya menganggap, keunikannya di pentas membezakan dirinya dengan penyanyi lain.

    "Sebagai penyanyi, saya ada banyak rujukan. Antaranya Bono daripada kumpulan U2 dan mendiang John Lennon yang kelihatan seperti 'mabuk' ketika beraksi. Mungkin disebabkan itulah saya dilihat sebegitu ketika menyanyi.

    "Bagaimanapun, saya tidak tersinggung dengan komen yang diberi juri kerana ia sudah menjadi identiti saya," katanya kepada BH Online.

    Firman yang menyertai musim keempat program realiti Gegar Vaganza (GV4) akan bersaing di pentas akhir program realiti itu, Ahad ini.

    Sementara itu, Firman turut meminta maaf atas gaya sebutannya yang berbeza setiap kali mendendangkan lagu Melayu ciptaan tempatan dalam GV4.

    "Saya memohon maaf kerana menukar lagu Zalikha kepada 'Jalikha'... Ini kerana lidah ini seperti sudah terbiasa.

    "Isteri saya ada membetulkan gaya nyanyian, namun terlepas juga hingga kedengaran 'Jalikha' ketika menyanyi minggu lalu," katanya.

    Mengenai pembabitannya dalam program realiti itu, Firman berkata, ia memberi peluang besar untuk dirinya memperkukuhkan karier seni di Malaysia.

    Biarpun kurang terdedah dengan lagu yang ditugaskan untuk pusingan akhir GV4 ,Ahad ini, Firman berharap dapat memberi persembahan terbaik buat peminat.

    "Sebenarnya, saya tidak pernah mendengar lagu-lagu yang ditugaskan, namun saya cuba untuk menggalas tanggungjawab yang diberi sebaik mungkin. Insya-Allah, pengalaman di Indonesia Idol dapat digunakan untuk GV4," kata Firman.

    Ahad ini, Firman akan menyampaikan lagu Drama King yang dipopularkan Meet Uncle Hussain dan Tepi Sikit dendangan Sleeq dalam segmen battle bersama seorang penyanyi yang belum diumumkan lagi.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Nyanyi ala 'mabuk' jadi identiti - Firman "