• Nota Selamatkan 5 Beradik Daripada Bilik Kurungan

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Monday, 11 December 2017
    A- A+

    CUIABA (BRAZIL): Sekeping nota yang dilempar bersama batu menerusi pintu jeriji sebuah bilik kurungan, menjadi petunjuk kepada penemuan lima beradik kurus kering yang berjaya diselamatkan.

    Lima beradik terdiri daripada tiga lelaki dan dua perempuan berusia enam hingga 14 tahun itu dipercayai dikurung ibu bapa mereka, yang kemudian disiasat kerana mendera mereka.

    Pasangan terbabit sedang mengadakan barbeku di rumah mereka sebelum lima anak mereka itu ditemui, kata penyiasat.

    Anak mereka dikurung dalam keadaan menyedihkan dan kotor apabila tidur di atas tilam basah, dibiarkan kelaparan, selain tiada bekalan air serta elektrik ke bilik berkenaan.

    Mereka mencari ikhtiar untuk mendapatkan pertolongan dengan menulis nota yang dibungkus bersama batu dan dilempar ke luar.

    Kandungan nota yang didedahkan polis menerusi unit Pertahanan Khas Hak Kanak-Kanak dan Remaja (Deddica) menggambarkan kesedihan kanak-kanak terbabit.

    “Kami dikurung di dalam bilik ini. Kami lapar dan dahaga. Kami perlukan makanan.

    “Kami dikurung tanpa makanan. Dia (bapa) memberi makanan rosak kepada kami,” luah kanak-kanak terbabit.

    Ibu bapa mereka dikenali sebagai Helio Roberto dos Santos dan Natalia Pereira de Paula yang kedua-duanya berusia 30-an, ditangkap atas tuduhan melakukan serangan dan keganasan rumahtangga membabitkan penderaan, penyeksaan serta kesakitan kanak-kanak.

    Detektif Wagner Vinicius de Lima memberitahu Nortao Journal: “Ketika ditahan, mereka menjamah makanan sementara anak-anak ditinggalkan terkurung kelaparan dan hanya mampu menghidu bau makanan saja.”

    “Mereka sentiasa berada dalam bilik kurungan yang terletak di belakang rumah didiami ibu bapa. Kadangkala mereka keluar untuk ke sekolah.

    “Keadaan bilik itu sangat teruk, kotor dan busuk, manakala tempat tidur dan lantai basah. Saya tidak pernah menemui kanak-kanak yang terpaksa hidup dalam keadaan begini.”

    Menurutnya, kanak-kanak terbabit memerlukan penjagaan psikologi untuk pulih.

    “Makanan mangsa dicatu. Mereka diberi makan nasi dan kacang yang kurang masak dan tawar.

    “Terdapat kesan lebam dan luka pada badan mereka semua. Kami percaya mereka menjadi mangsa keganasan fizikal dan didera.

    “Jiran memberitahu ada terdengar kanak-kanak itu meraung ketika dipukul, dipercayai menggunakan tali pinggang dan paip besi,” katanya.

    Sehingga kini penyiasat tidak dapat memastikan berapa lama mereka dikurung.-Daily Mail

    Subjects:

  • No Comment to " Nota Selamatkan 5 Beradik Daripada Bilik Kurungan "