• Nilai Dagangan China-Malaysia Naik Tahun Ini

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Thursday, 14 December 2017
    A- A+
    KUALA LUMPUR: Perdagangan dua hala Malaysia-China mencecah RM237.96 bilion bagi tempoh 10 bulan pertama tahun ini, meningkat 24.1 peratus berbanding RM191.65 bilion pada tempoh sama tahun sebelumnya.

    Nilai eksport dalam tempoh dikaji turut meningkat 33.5 peratus kepada RM103.32 bilion daripada RM77.4 bilion.

    Peningkatan itu disebabkan jumlah eksport lebih tinggi dalam produk elektrik dan elektrikal (E&E), produk petroleum serta gas asli cecair (LNG), kimia dan produk kimia serta produk getah. Bagi nilai import, ia mencatat peningkatan 17.8 peratus kepada RM134.64 bilion berbanding RM114.29 bilion tahun lalu.

    Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Chua Tee Yong, berkata defisit dagangan untuk tempoh dikaji menurun kepada RM31.32 bilion daripada RM36.87 bilion tempoh sebelum ini.

    Katanya, bagi tahun ini, China juga terus kekal menjadi rakan dagang terbesar Malaysia buat tahun kesembilan berturut-turut.

    "Antara sebab utama nilai eksport kita ke China meningkat selain daripada bergantung kepada produk E&E, minyak sawit dan komoditi lain ialah peningkatan eksport dari sektor seperti makanan dan juga sektor yang lain sedang berkembang.

    "Ini adalah sesuatu yang positif buat negara kerana ia menunjukkan yang Malaysia tidak bergantung kepada satu jenis produk sahaja untuk dieksport seperti ditekankan oleh Majlis Eksport Negara, adalah penting untuk kita mempelbagaikan produk eksport dan juga pasaran.

    "Jadi saya fikir bagi tahun ini melihat kepada 10 bulan pertama, terdapat peningkatan dari segi jumlah perdagangan dan eksport yang mana ia tidak tertakluk kepada sebuah negara sahaja, tetapi hampir menyeluruh dari Kesatuan Eropah, Jepun, Amerika Syarikat, ASEAN dan China yang mana semuanya meningkat," katanya.

    Beliau berkata demikian selepas merasmikan Forum Perniagaan Platform Promosi Perdagangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) China-ASEAN (CASTPP) Malaysia di Menara MATRADE, di sini.

    Yang turut hadir Setiausaha Agung Eksekutif CASTPP, Gao Hang dan Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Ir Dr Mohd Shahreen Zainooreen Madros.

    Dalam pada itu, Tee Yong berkata, hingga kini, CASTPP yang mula dilancarkan pada Disember tahun lalu sudah mengeksport lebih 300 unit simpanan stok (SKU) bernilai hampir RM1 juta ke China.

    Katanya, produk yang dieksport oleh syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan itu kebanyakannya ialah makanan dan minuman.

    "Menerusi CASTPP ini, kita mahu membantu PKS memasuki pasaran China yang secara geografinya adalah agak mencabar untuk dilakukan secara bersendirian kerana saiz pasaran dan kawasannya yang sangat besar dan luas.

    "Namun, kita tidak memaksa PKS untuk menyertai platform ini jika mereka mahu melakukannya secara sendiri, tetapi CASTPP ini adalah antara inisiatif disediakan oleh MATRADE untuk membantu menembusi pasaran China.

    "Kita juga tidak menetapkan sebarang sasaran menerusi platform tidak berasaskan keuntungan ini kerana seperti saya katakan, ia bukan wajib untuk PKS menggunakannya, malah PKS sendiri boleh memilih apa yang mereka mahukan," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Nilai Dagangan China-Malaysia Naik Tahun Ini "