• NGO, Pemimpin Akar Umbi Perlu Bersedia Hadapi Banjir

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Tuesday, 12 December 2017
    A- A+

    KUCHING: Badan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin masyarakat diingatkan supaya bersedia menghadapi bencana banjir termasuk sentiasa peka dengan arahan serta prosedur ditetapkan bilik gerakan operasi daerah masing-masing, kata Menteri Muda Utiliti Dr Abdul Rahman Junaidi.

    Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai berkata, bagi kawasannya, pemimpin masyarakat, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan sukarelawan akan diberikan pendedahan awal melibatkan penyaluran maklumat supaya langkah membantu mangsa dapat dijalankan secara teratur.

    "Kita juga akan bekerjasama sepenuhnya dengan setiap agensi bagi membantu dalam aspek pengurusan," katanya semasa Taklimat Persediaan Menghadapi Bencana Banjir Bagi Kawasan DUN N.4 Pantai Damai hari ini.

    Menurutnya, kerajaan negeri juga bersedia membuka bilik operasi di setiap bahagian di negeri ini bagi menghadapi bencana banjir sekiranya berlaku.

    Malah jelas Dr Abdul Rahman, kerajaan turut mengenalpasti tempat untuk dijadikan pusat pemindahan sementara di setiap daerah dan kawasan kerap dilanda banjir.

    "Oleh itu, kepimpinan peringkat kampung juga bersedia untuk menghadapi apa sahaja situasi," ujarnya.

    Taklimat tersebut melibatkan pelbagai agensi kerajaan seperti Pejabat Daerah Kuching, Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM), Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching, Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Kuching, Jabatan Pengaliran dan Saliran (DID) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 1.-Sarawakiana
  • No Comment to " NGO, Pemimpin Akar Umbi Perlu Bersedia Hadapi Banjir "