• Negara Islam umum tolak pelan damai ditaja Amerika Syarikat

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Thursday, 14 December 2017
    A- A+

    ISTANBUL: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menolak pelan damai Palestin-Israel yang diketuai Amerika Syarikat selaku pengantara, dan mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin.

    Pengerusi OIC Recep Tayyip Erdogan menjelaskan, pertubuhan itu merumuskan hasil kutipan suara negara Islam dengan menolak pelan damai sedia ada dan mahu mewujudkan pelan baharu dalam tempoh terdekat.

    "Kini sudah timbul lagi persoalan berat sebelah yang dibuat Amerika Syraikat selaku perantara pelan damai Palestin-Israel dan proses itu berakhir sekarang.

    "Justeru saya menggesa negara anggota agar memikirkan selangkah ke hadapan tentang siapa yang bakal diangkat menjadi perantara dalam pelan damai baharu Palestin-Israel.

    "Dan jika perlu, kita juga boleh menilai semula pelan damai yang ditaja Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

    "Kerana, apa yang kita cari hari ini adalah satu perantara dan jalan keluar yang tidak berat sebelah," jelasnya ketika menggulung Sidang Kemuncak Luar Biasa OIC yang dihadiri pemimpin utama negara anggota pada Rabu.

    Erdogan memanfaatkan penggulungan itu dengan kesimpulan bahawa semua negara anggota kini bersetuju mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin.

    "Hari ini kami mengumumkan bahawa kami mengenali Baitulmaqdis sebagai ibu kota Palestin, dan pada pendapat kami Baitulmaqdis adalah ibukota negara Palestin dan akan kekal seperti itu.

    "Saya menjemput negara lain di luar pertubuhan ini untuk turut mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Palestin," tegasnya.

    Sebelum itu, Setiausaha Agung OIC Yousef Ahmad Al-Othaimeen mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada negara anggota yang hadir di Istanbul kerana keseriusan membincangkan isu Baitulmaqdis.

    "Ini saatnya untuk kita mengucapkan tahniah kepada diri kita sendiri kerana berjaya dengan sebulat suara mengutuk tindakan dan keputusan yang dibuat Amerika Syarikat.

    "Ia satu pencapaian terbaik bagi OIC mengumpul 57 negara Islam dan mencapai 100 peratus konsensus yang menjurus kepada pembelaan khusus terhadap Baitulmaqdis, dan Palestin amnya," jelasnya. - AstroAwani

    Subjects:

  • No Comment to " Negara Islam umum tolak pelan damai ditaja Amerika Syarikat "