• Namakan calon PM awal bercanggah adab Islam

    Published: Friday, 22 December 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: PAS menempelak tindakan pihak tertentu yang lebih mengutamakan calon Perdana Menteri, selain pembentukan Kabinet bayangan jika menang pilihan raya umum (PRU) akan datang.

    Tanpa merujuk kepada mana-mana pihak, Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata tindakan itu bercanggah dengan adab dibawa Rasulullah SAW.

    Beliau berkata, adab Islam menyaksikan Rasulullah tidak berjuang kerana mengejar jawatan, sebaliknya menegakkan Islam berkonsepkan mendahulukan pembangunan insan yang beriman, berilmu dan berakhlak, bukannya sekadar ekonomi sahaja atau melahirkan tokoh tanpa iman, ilmu dan akhlak.

    "Maka, PAS tidak mendahulukan pembentukan Kabinet atau melantik siapa bakal Perdana Menteri, yang bakal menjadi bangkai sahaja.

    "Inilah adab yang diajar oleh Rasulullah SAW apabila Ketua Kabilah Bani Amir yang ditawarkan kemenangan Islam bertanyakan siapa ketua negaranya, lantas Baginda SAW bersabda: 'Itu urusan Allah yang menentukan dengan kehendak-Nya'," katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Kenyataan Abdul Hadi, yang juga Ahli Parlimen Marang itu dipercayai merujuk kepada tindakan gabungan pakatan pembangkang diterajui DAP, yang akan sekali lagi menamakan calon Perdana Menteri mereka bulan depan bagi menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang masih menjalani hukuman penjara.

    Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, dilaporkan berkata, pakatan pembangkang itu mempunyai calon lain sebagai perdana menteri jika gabungan itu memenangi PRU kelak.

    Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, PAS menafsirkan Perlembagaan Persekutuan, yang meletakkan Islam menjadi agama negara, bukan sekadar simbol dan ia mestilah ditadbir negara berkonsepkan Islam yang melantik ketua negara daripada penganut Islam dan Bumiputera Melayu yang beriman melaksanakan Islam secara menyeluruh.

    "Bukan semestinya PAS menjadi ketua kerajaan, bahkan PAS boleh terus menjadi pembangkang yang menasihat dan bertaawun dengan ketua negara yang boleh menerima Islam, sama ada kerajaan parti atau kerajaan teknokrat yang boleh diatur perubahannya yang lebih positif, bukannya perubahan dan pindaan Perlembagaan yang pernah dilaksanakan sebelum ini seperti tikus membaiki labu," katanya.

    Beliau berkata, Rasulullah turut menerima mereka yang berbaiah dan setia menunaikan baiahnya bersama Islam yang diperjuangkan dengan istiqamah dan menunggu pertolongan Allah selepas memenuhi syarat yang diperintahkan.

    "Begitulah PAS boleh menerima dan bersama sesiapa sahaja, termasuk DAP yang menerima Islam yang sempurna, akidah, syariat, akhlak dan nizam (sistem) serta menunggu kemenangan yang dijanjikan kepada Islam dengan berjuang memenuhi syaratnya juga.

    "Persoalannya, mengapa Islam dihalang daripada kemenangan dan dijatuhkan selepas menang? Ini bukan kerana salah dan sesatnya, tetapi kerana dengki yang berterusan daripada musuh Islam yang sentiasa mencari alasan dan berbohong yang dicipta dan memutarbelitkan ajaran Islam sehingga dikelirukan," katanya.

    Tegasnya, PAS tetap berterus-terang dan beristiqamah bersama Islam tanpa sembunyi dan berdolak-dalih semata-mata untuk meraih simpati sokongan daripada semua pihak.

    Beliau berkata, konsep PAS tidak memisahkan antara dakwah dan politik supaya seramai mungkin manusia menerima Islam dengan ikrar dan keyakinan hatinya yang ikhlas, sehingga menganut Islam tanpa paksaan, atau tidak menganut Islam tetapi bersedia bernaung di bawah pemerintahan Islam yang lebih baik, sekali gus menegakkan Islam menjadi pemerintah dan pemimpin secara terbuka.

    "Dalam aspek politik, Islam tegas mewajibkan kepemimpinan utama yang menjaga dasar dan konsepnya daripada penganut Islam dan menerima bukan Islam dalam aspek kepakaran dan pengurusan, bukannya perkara dasar dan konsep.

    "Maka, Islam menerima kedudukan bukan Islam melalui pilihan raya atau konsep kerajaan teknokrat.

    "PAS yang menegaskan kedudukan Islam dalam perlembagaannya menerima kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan dan menerima konsep Raja Berperlembagaan yang menjadi tonggaknya, menerima juga kaum bukan Islam menjadi warga negara berkonsepkan saudara kemanusiaan, walaupun dibawa masuk oleh penjajah terdahulu.

    "Namun, PAS tetap menolak konsep sekular warisan penjajah kerana bercanggah dengan Islam yang diletakkan dalam Perlembagaan negara kita yang sudah merdeka," katanya.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Namakan calon PM awal bercanggah adab Islam "