• Najib Tiba Di Istanbul Bincang Isu Baitulmuqaddis

    Published: Wednesday, 13 December 2017
    A- A+

    Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang membincangkan isu pengisytiharan Amerika Syarikat (AS) terhadap Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel, tiba di Istanbul lewat malam tadi.

    Najib yang diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor disambut Duta Besar Malaysia ke Turki, Datuk Abdul Razak Abdul Wahab.

    Mesyuarat pertubuhan 57 buah negara itu akan dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan selaku pengerusi sidang kemuncak ke-13, di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Lütfi Kırdar pada sebelah pagi.

    Ia disusuli dengan ucapan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, Raja Jordan, Raja Abdullah 11 dan Setiausaha Agung OIC, Dr. Yousef Ahmad.

    Perdana Menteri dijadual turut menyatakan pendirian tegas Malaysia tentang tindakan Presiden AS, Donald J. Trump itu yang telah mendapat bantahan meluas dunia. Yang turut hadir pada mesyuarat itu ialah Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.

    Sidang Kemuncak Luar Biasa OIC dijadual mengeluarkan Deklarasi Istanbul pada akhir mesyuarat. Sidang akhbar bersama pula dijadual dibuat kira-kira pukul 4 petang. - BNBCC

    Subjects:

  • No Comment to " Najib Tiba Di Istanbul Bincang Isu Baitulmuqaddis "