• Najib Tiba Di Bahrain Untuk Lawatan Rasmi Tiga Hari

    Reporter: Admin
    Published: Friday, 15 December 2017
    A- A+
    Foto Bernama
    MANAMA, 15 Dis (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini hari ini untuk memulakan lawatan rasmi tiga hari ke Bahrain atas undangan Raja Bahrain, Raja Hamad Isa Al Khalifa.

    Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Bahrain pada kira-kira jam 3 petang (8 malam waktu Malaysia).

    Ketibaan mereka disambut Timbalan Perdana Menteri Bahrain, Shaikh Mohammed Mubarak Al Khalifa.

    Turut hadir untuk menyambut Najib dan Rosmah ialah Menteri Pertahanan merangkap Menteri Tugas-tugas Khas, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Duta Besar Malaysia di Bahrain, Agus Salim Yusof.

    Atur cara lawatan Perdana Menteri bermula dengan menghadap Raja Hamad Isa di Istana Shaik Hamad di sini Jumaat, di mana Najib menjadi pemimpin asing pertama dikurniakan anugerah tertinggi negara itu, ? King Hamad Order for Development' oleh baginda.

    Ini disusuli jamuan malam dihoskan oleh baginda untuk perdana menteri yang melakukan lawatan rasmi sulung ke negara teluk itu.

    Raja Bahrain itu melakukan lawatan negara ke Malaysia dari 30 April hingga 3 Mei tahun ini.

    Semalam, Agus menyifatkan hubungan Kuala Lumpur-Manama kini berada di tahap paling tinggi sejak dua negara itu menjalin hubungan diplomatik pada 1974.

    Najib juga dijadual menghadiri sesi taklimat mengenai pembangunan ekonomi negara yang mempunyai 1.4 juta penduduk itu apabila beliau melawat Lembaga Pembangunan Ekonomi Bahrain (BEDB), Sabtu ini.

    Seterusnya, Najib juga dijadual menghadap Putera Mahkota, Putera Salman Hamad Al Khalifa di Istana Ghudaibiya di sini sebelum menghadiri majlis jamuan tengah hari bersama isterinya yang dihoskan oleh baginda, esok.

    Najib dan Rosmah juga akan menghadiri upacara sambutan Hari Kebangsaan Bahrain ke-46 di Istana Sakhir dengan Raja Hamad dijadual turut hadir.

    Najib merupakan satu-satunya pemimpin asing diundang menghadiri upacara sambutan Hari Kebangsaan negara itu. -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Najib Tiba Di Bahrain Untuk Lawatan Rasmi Tiga Hari "