• Najib Mahu Belia Manfaatkan Peluang Pekerjaan Lebih Luas

    Published: Friday, 22 December 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu golongan belia di negara ini memanfaatkan peluang pekerjaan yang lebih meluas yang diwujudkan menerusi Bajet 2018.

    Beliau berkata penyediaan lebih banyak peluang pekerjaan adalah antara fokus utama dalam Bajet 2018 agar rakyat Malaysia terutamanya golongan belia mendapat manfaat sepenuhnya daripada perkembangan ekonomi negara yang semakin baik.

    Najib yang juga Menteri Kewangan berkata kadar pengangguran sebanyak 3.3 peratus di Malaysia pada 2017 adalah yang terendah di rantau ini, dan kerajaan menyasarkan untuk menyediakan 3.3 juta peluang pekerjaan menjelang 2020.

    "Kita kini sudah mencapai 69 peratus iaitu 2.26 juta peluang pekerjaan.

    "Pesan saya kepada anak-anak muda, jadilah lebih proaktif dan berani untuk keluar dari zon selesa, dan manfaatkanlah sepenuhnya peluang-peluang yang disediakan untuk saudara dan saudari," kata beliau dalam entri terbaharunya di blog www.najibrazak.com

    Perdana Menteri berkata dalam Bajet 2018 yang dibentang pada Oktober lepas, kerajaan memperuntuk RM1 bilion untuk pelbagai projek di Koridor Ekonomi seperti Projek Wilayah Selatan Perak, Zon Bebas Cukai Bukit Kayu Hitam, Kawasan Perindustrian Tok Bali dan Empangan Baleh Sarawak dan banyak lagi peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor.

    Sebanyak RM4.9 bilion dana pula diperuntukkan agar lebih ramai anak muda mendapat latihan teknikal dan vokasional dalam usaha mempersiapkan tenaga kerja mahir dan separuh mahir negara.

    "Terdapat juga pelbagai peluang untuk golongan belia dan mahasiswa membangunkan bisnes kecil dan sederhana melalui dana dan pembiayaan, geran dan pinjaman dengan jaminan kerajaan.

    "Ini selari dengan hasrat menjadikan golongan belia dan mahasiswa bukan sahaja menjadi pekerja tetapi mampu mencipta peluang pekerjaan sebagai usahawan," kata beliau.

    Najib berkata pelaksanaan program kebolehpasaran seperti Skim Latihan 1Malaysia juga merupakan usaha kerajaan untuk menjamin peluang pekerjaan bagi para mahasiswa.

    -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Najib Mahu Belia Manfaatkan Peluang Pekerjaan Lebih Luas "