• Najib lancar dana inovasi digital Axiata di Sri Lanka

    Reporter: Yusz Man
    Published: Tuesday, 19 December 2017
    A- A+

    COLOMBO: Datuk Seri Najib Razak hari ini melancarkan Dialog Axiata Digital Innovation Fund (DADIF), dana modal teroka korporat terbesar dalam bidang digital di Sri Lanka bernilai AS$15 juta (RM61.5 juta).

    Perdana Menteri berkata, DADIF akan digunakan bagi tujuan pelaburan untuk membantu memulakan era digital di negara Asia Selatan berkenaan.

    Ia juga, katanya, bagi membiayai pengembangan dalam perubahan menyediakan perniagaan digital yang terbaik di Sri Lanka.

    "Pada 2014, saya sendiri melancarkan ADIF (Axiata Digital Innovation Fund) di Kuala Lumpur. Saya dimaklumkan ini adalah dana ketiga seumpamanya dilancarkan oleh Axiata, malah ini paling dipuji," katanya.

    Najib berucap pada majlis pelancaran DADIF sempena lawatannya ke ibu pejabat Dialog Axiata Plc (Dialog Axiata), anak syarikat Axiata Group Bhd, milik Khazanah Nasional Bhd di sini.

    Perdana Menteri yang dalam rangka lawatan tiga hari ke Sri Lanka turut diberi taklimat mengenai kemudahan ditawarkan termasuk program Sekolah Pintar yang dilaksanakan sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) Dialog Axiata.

    Dialog Axiata, syarikat telekomunikasi terbesar dan mempunyai pelaburan langsung asing (FDI) terbesar di Sri Lanka dengan nilai pelaburan AS$2.2 bilion (RM9.02 bilion).

    Ia juga syarikat korporat keempat terbesar di negara berkenaan.

    Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam dan Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

    Selain itu, Duta Khas Malaysia ke India dan Asia Selatan, Tun S Samy Vellu serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Axiata Group, Tan Sri Jamaludin Ibrahim.

    Najib berkata, sebagai Perdana Menteri, beliau berbangga dengan pencapaian syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Axiata, terutama yang membuat pelaburan melangkaui sempadan Malaysia.

    Sebagai peneraju pasaran di Sri Lanka, katanya, Dialog Axiata memulakan pelbagai perkara di negara ini malah di Asia, termasuk yang pertama memperkenalkan teknologi 3G dan 4G di kawasan Asia Selatan.

    Terbaru, katanya, adalah demonstrasi 5G serta menyediakan produk kewangan yang inklusif seperti EZCash.

    "Hari ini, kita bukan sahaja meraikan pencapaian komersial Axiata dan Dialog (Axiata), malah sumbangan mereka kepada ekonomi dan komuniti Sri Lanka dengan memperkenalkan kemajuan teknologi komunikasi," katanya.

    Sementara itu, Jamaludin dalam ucapannya, berkata DADIF akan menjadi dana modal teroka korporat terbesar di Sri Lanka.

    "Ia akan membantu usahawan digital di Sri Lanka untuk mengembangkan perniagaan mereka," katanya.

    Beliau berkata, Dialog Axiata adalah syarikat pelaburan pertama Axiata Group di luar Malaysia yang bermula sejak 1995.

    Katanya, dana pertama kumpulan itu sebanyak RM100 juta, dilancarkan bersama Malaysia Venture Capital Management Berhad (MAVCAP) pada 2015, diikuti dana kedua di Kemboja awal tahun ini.

    Terdahulu, Perdana Menteri menerima kunjungan hormat Ketua Menteri Wilayah Utara Sri Lanka, CV Wigneswaran di hotel penginapannya.

    Selepas melancarkan DADIF, Najib hadir dan menandatangani plak peringatan Hyrax Oil Sdn Bhd serta diberi taklimat operasi kilang pemprosesan minyak pelincir milik syarikat Malaysia itu di Sri Lanka.-bhoNLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Najib lancar dana inovasi digital Axiata di Sri Lanka "