• Najib Kini Lebih Kuat, BN Bakal Menang PRU-14

    Published: Tuesday, 12 December 2017
    A- A+

    TEGUH… Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sedang menuju kemenangan pilihan raya umum (PRU), terima kasih “persetujuan peribadi” Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

    Demikian pandangan oleh seorang penganalisis politik yang juga Pengarah Institut Asia di Universiti Tasmania, Australia, James Chin ketika dipetik portal tempatan menerusi artikel Najib lebih kuat berbanding sebelumnya.

    Beliau menulis, menjelang akhir tahun ini, trend politik Najib menjadi lebih kukuh kerana ‘perjanjian’ dengan PAS telah meminggirkan dengan berkesan musuh ketatnya, Mahathir Mohamad dan blok Pakatan Harapan (PH).

    PAS malah berjaya memisahkan hubungan kerjasama siasah dengan DAP ekoran isu hudud, langkah menyebabkan keruntuhan kumpulan pembangkang Pakatan Rakyat pada 2015 dan diganti PH yang belum lagi sah didaftarkan.

    Pada April lalu, parti Islam itu bahkan cipta sejarah apabila rang undang-undang persendirian dibawa Abdul Hadi dapat dibentangkan di Dewan Rakyat, sekali gus beri tamparan kepada wakil PH sendiri yang tidak menjangkanya.

    Rang itu hanya untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 lebih dikenali dengan RUU 355 bagi memperkasakan bidang kuasa mahkamah tersebut dan bukanlah Hukum Hudud seperti dimomok DAP.

    “Najib telah berjanji kepada Abdul Hadi bahawa UMNO akan sokong RUU 355… Kebanyakan pakar undang-undang percaya apabila diluluskan Parlimen, ia akan jadi langkah pertama dalam ubah perlembagaan sekular Malaysia.

    “Kesepakatan tidak tertulis antara Abdul Hadi dan Najib adalah apabila Barisan Nasional (BN) memenangi PRU ke-14, UMNO akan mengguna pakai RUU 355 sebagai rang undang-undang kerajaan,” kata Chin dalam analisisnya.

    Strateginya adalah untuk PAS bermain sebagai ‘pengacau’ pada PRU ke-14 dengan mewujudkan sebanyak mungkin senario pertandingan tiga penjuru yang boleh dilakukan dalam 110 hingga 120 kerusi Melayu-Muslim luar bandar.

    Ia merupakan anggaran bilangan kerusi yang disasarkan oleh parti ‘bunga lesu’ ciptaan Mahathir, PPBM, dan serpihan PAS iaitu PAN. Malangnya ia merupakan kawasan tidak selamat untuk dua parti kecil itu melawan BN.

    Secara tradisional, ‘pergaduhan’ tiga penjuru lebih disukai BN yang diterajui UMNO kerana akan memecahkan undi pembangkang dengan mudah sekali gus BN akan memenangi sebahagian besar kerusi Melayu pada PRU-14 nanti.

    “Najib amat yakin dengan strategi ini bahawa dia telah memberitahu kepimpinan dalaman partinya bahawa UMNO berhasrat mengambil balik antara 140 hingga 160 kerusi di Parlimen yang mengandungi 222 kerusi,” kata Chin.

    Pakar akademik itu berkata Najib telah berjaya menenggelamkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) waima perhimpunan haram ‘Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi’ anjuran PH pada 14 Oktober lalu hambar sambutan.

    Pembangkang malah gagal menyakinkan rakyat konon Pengerusi BN itu terbabit dalam isu pembelian aset mewah, seperti hartanah, lukisan dan barang kemas yang sebenarnya hanyalah rekaan permainan persepsi jahat PH sendiri.

    Najib yang juga Presiden UMNO ujar Chin, juga berjaya menggunakan pembentangan Bajet 2018 pada bulan lalu, yang disebut sebagai ‘belanjawan pilihan raya’, untuk menyasarkan penyokong tradisional parti pemerintah.

    “Menjelang akhir tahun ini, Najib akan lebih kuat dari segi politik. Kesepakatannya terhadap PAS meminggirkan Mahathir dan PH secara efektif, bahkan dakwaan rasuah 1MBD secara besar-besaran dianggap ‘berita lama’.

    “Ini terutama oleh majoriti pengundi Melayu di luar bandar yang sangat penting, ” kata Chin, sambil menambah bahawa 2017 yang dianggapnya tahun kurang baik untuk Najib bakal berakhir pergi. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Subjects:

  • No Comment to " Najib Kini Lebih Kuat, BN Bakal Menang PRU-14 "